PETALING JAYA: PAS mungkin sedang mempercepatkan usaha mencapai cita-citanya untuk menerajui kerajaan persekutuan, dengan melihat kerjasama Umno sebagai peluang terbaik parti itu memimpin Putrajaya, menurut seorang penganalisis politik.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, PAS sedar ia akan menghadapi kesukaran untuk membina pengaruh dan sokongan di seluruh negara yang diperlukan bagi membentuk kerajaan persekutuan jika bergerak secara bersendirian, walaupun dalam jangka panjang.

Katanya, Umno mempunyai tarikan lebih luas di seluruh Malaysia, manakala kekuatan PAS tertumpu di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya, kerjasama PAS dengan Umno ketika ini bukan sekadar untuk kelangsungan politik, sebaliknya bertujuan meletakkan parti itu lebih hampir kepada kuasa di peringkat persekutuan.
“Saya tidak fikir PAS sanggup menunggu 10 tahun lagi untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan atau melihat salah seorang Ahli Parlimennya dilantik sebagai perdana menteri.
“Saya tidak fikir itu tujuan di sebalik kerjasama dengan Umno ketika ini,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, PAS mungkin bersedia untuk memainkan peranan kedua selepas Umno buat masa ini, namun perubahan pendirian boleh berlaku dengan pantas jika keputusan PRU16 memihak kepada parti Islam itu.
“Buat masa ini, memainkan peranan kedua hanyalah untuk menumpang populariti Umno. Tetapi jika mereka memperoleh jumlah kerusi yang lebih banyak, PAS akan menuntut jawatan perdana menteri,” katanya.
Menurut Azmi, gabungan Perikatan Nasional (PN) mungkin semakin menjadi 'sejarah' bagi PAS, meskipun parti itu mungkin terus bekerjasama dengan Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin.
Minggu lalu, bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata PAS mungkin sedia menunggu antara lima hingga 10 tahun lagi sebelum melancarkan usaha serius untuk menerajui kepimpinan negara.
Beliau berkata, Umno kelihatan lebih fokus mendapatkan semula kuasa dengan segera, manakala PAS mungkin lebih memilih menggunakan tempohnya dalam kerajaan bagi membina pengalaman pentadbiran serta beri masa kepada pengundi dan penjawat awam untuk mengenali parti itu.

Seorang lagi penganalisis, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, bersetuju dengan Shahril dan berkata PAS menyedari kelemahannya berbanding Umno, khususnya dari segi kekurangan tokoh terkemuka dan pengalaman dalam pentadbiran persekutuan.
Beliau berkata, Umno yang mentadbir Malaysia sejak kemerdekaan sehingga 2018, mempunyai pengalaman selama berdekad yang boleh dipelajari PAS.
“PAS berdepan kekangan kerana dianggap sebagai parti tempatan yang daya tarikannya hanya tertumpu dalam kalangan orang Melayu tradisionalis.
“PAS memerlukan lebih banyak masa untuk mempelajari pengalaman Umno dalam kerajaan persekutuan sebelum benar-benar bersedia untuk mengambil alih tampuk kuasa sendiri pada masa hadapan,” katanya.
Mazlan menjangkakan, PAS mungkin membenarkan Umno menerajui Putrajaya jika kedua-dua parti berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran langkah PAS itu boleh memakan diri, selain berpotensi membantu usaha Umno mendapatkan semula sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
“Risiko besar bagi PAS ialah jika Umno berjaya mendapatkan semula kepercayaan orang Melayu, seperti dilakukannya pada 1970-an, 1980-an dan 1990-an.
"PAS boleh kehilangan pengaruhnya memandangkan kedua-dua parti itu bersaing untuk segmen pengundi Melayu yang sama,” katanya.
Mazlan berkata, PAS dan Umno adalah pesaing politik, dan sebarang keuntungan yang dicapai melalui kerjasama boleh membawa kepada persaingan semula pada masa hadapan.
Beliau berkata, pakatan boleh mengukuhkan kedua-dua parti dan meningkatkan peluang memenangi PRU16, tetapi kejayaan jangka panjangnya bergantung pada keupayaan mengekalkan hubungan tersebut.
“Jika hubungan antara kedua-dua parti itu tidak diperkukuh lagi, mereka mungkin kembali bersaing antara satu sama lain di pentas politik untuk mendapatkan undi Melayu pada masa hadapan,” katanya.
