PETALING JAYA: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) memuji keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan teknologi 5G dari Barat dan China, sambil menggesa Putrajaya mengekalkan pendekatan seimbang itu.
Wan Fayhsal berkata dasar berkenaan memberi Malaysia akses kepada dua ekosistem teknologi 5G berbeza, dengan Digital Nasional Bhd (DNB) menggunakan peralatan Ericsson bagi rangkaiannya manakala U Mobile menggunakan teknologi Huawei.
"DNB ditubuhkan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional pada 2021. Sekarang ini kita dua laluan iaitu DNB bersama Ericsson untuk 5G kita dan U Mobile memilih Huawei.
"Ini satu perkara yang baik kerana Tambun (Anwar) pernah kata, Malaysia patut dapat manfaat daripada teknologi Barat dan Timur,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, berada di Dewan Rakyat ketika Wan Fayhsal membuat kenyataan itu.
Ketua penerangan Wawasan itu menggesa kerajaan mengekalkan dasar berkenaan supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada hanya satu ekosistem teknologi.
“Saya harap kerajaan dapat mengekalkan kedua-dua sistem kerana berdasarkan perbincangan saya dengan duta dari Eropah dan negara Barat lain, mereka mahu Malaysia menyediakan infrastruktur digital yang benar-benar berdaulat supaya mereka boleh melabur dalam sektor sensitif,” katanya.
Wan Fayhsal berkata kedua-dua sistem perlu dikekalkan bukan sahaja untuk meningkatkan liputan dan kualiti rangkaian 5G, tetapi juga bagi meningkatkan keyakinan pelabur, menjaga kedaulatan digital serta mengukuhkan keupayaan negara menyediakan infrastruktur dipercayai bagi operasi sensitif.
Menurutnya, prinsip sama juga perlu digunakan dalam cadangan kerajaan membangunkan awan AI berdaulat yang boleh menempatkan data sensitif kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan cadangan peruntukan RM2 bilion menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membangunkan awan berkenaan dalam Belanjawan 2026, sebelum inisiatif itu ditegaskan semula dalam Belanjawan 2027.
Wan Fayhsal berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan usaha sedang dilakukan untuk melindungi data kerajaan.
Katanya, cip keluaran Huawei turut dipertimbangkan bagi projek itu manakala Telekom Malaysia dipilih untuk menguruskannya.
“Cip Huawei Ascend 910C sedang dipertimbangkan dan Telekom Malaysia dipilih untuk menguruskan projek ini,” katanya.
“Persoalannya, adakah kerajaan sudah melakukan penilaian risiko terhadap pembekal yang akan digunakan untuk mengendalikan data negara?
“Bagaimana kerajaan akan menguruskan isu sensitif berkaitan kedaulatan digital?”
Wan Fayhsal berkata kerajaan tidak perlu menolak teknologi China, tetapi perlu memastikan peranannya yang semakin besar dalam infrastruktur 5G dan AI negara tidak menyebabkan Malaysia kehilangan pilihan teknologi lain yang berdaya maju.
“Malaysia boleh mendapat manfaat daripada teknologi Barat dan Timur,” katanya.
Menurutnya, mengekalkan rangkaian DNB berasaskan Ericsson bersama rangkaian U Mobile yang menggunakan Huawei memberi Malaysia fleksibiliti untuk memanfaatkan kedua-dua ekosistem, sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada satu pembekal atau blok teknologi sahaja.
