PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Amirudin Shari menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan kes penahanan pemimpin Bersama Nik Nazmi Nik Ahmad oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana berdua-duaan di tempat tertutup dengan seorang wanita bukan muhrim.
Amirudin berkata PKR mempunyai banyak urusan lain untuk diberikan perhatian berbanding nak memerangkap Nik Nazmi dengan kes khalwat, lapor Sinar Harian.
"Tidak pernah dibincang atau diaturkan secara rahsia mahupun secara terbuka untuk memerangkap lawan politik. Itu bukan kerja kitalah," katanya yang dipetik sebagai berkata.
Terdahulu hari ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menafikan dakwaan bahawa penahanan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu oleh Jais pada Khamis lepas ialah satu tindakan penganiayaan atau perangkap.
Pengerusi Salehuddin Saidin menegaskan agensi penguatkuasaan bertindak sepenuhnya berlandaskan aduan rasmi yang diterima, serta mengikut undang-undang yang ditetapkan tanpa memanipulasi keadaan demi mengenakan mana-mana pihak.
Pagi ini, Nik Nazmi mengesahkan beliau ialah seorang daripada dua individu yang ditahan Jais atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas dan bersedia memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.
Nik Nazmi mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba, namun menegaskan mereka tidak melakukan tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian Alam berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya.
Susulan itu, Bersama merehatkan Nik Nazmi daripada sebarang aktiviti parti selama tiga bulan.
