KUALA LUMPUR: Kerajaan patut wajibkan platform e-dagang luar seperti Temu dan Pinduoduo membuka pejabat di negara ini demi melindungi perniagaan tempatan, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), berkata platform meraih jualan melebihi kadar tertentu perlu diwajibkan mendaftarkan syarikat di Malaysia, membuka pejabat, dan melantik wakil khidmat pelanggan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, berkata platform dari China yang menjual barangan secara terus dari kilang mempunyai kelebihan tidak adil, berbanding peruncit tempatan yang perlu membayar sewa, gaji, dan cukai.
"Jika trend ini dibiarkan tanpa sebarang kawalan, sektor pembuatan mikro dan peruncitan tempatan kita akan dihancurkan," katanya dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, buku nota dibelinya di Pinduoduo hanya berharga RM2.60, berbanding kira-kira RM12 di Mr DIY.
Mas Ermieyati turut mencadangkan semakan semula dilakukan terhadap cukai jualan 10% ke atas barangan import bernilai rendah berharga kurang RM500, serta pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat bagi produk dihantar terus dari luar negara.
Beliau berkata, platform seperti Shopee, TikTok Shop, dan Lazada telah melabur dalam pejabat, gudang, dan tenaga kerja tempatan walaupun mengenakan caj tinggi.
Katanya, komisen dan bayaran transaksi sehingga 20% menjejaskan peniaga kecil, terutamanya mereka yang baharu sahaja memulakan perniagaan.
Mas Ermieyati turut mencadangkan agar peniaga digalak menjual secara terus menerusi Facebook dan Instagram, sambil menyifatkan 'penyelesaiannya sudah ada di hadapan mata kita'.
Beliau berkata, peniaga boleh mengelak membayar komisen kepada platform membeli-belah dan hanya dikenakan caj pemprosesan pembayaran asas sekitar 1%.
Bagi melindungi pembeli, Mas Ermieyati mencadangkan perkhidmatan eskrow DuitNow kebangsaan yang dibangunkan bersama PayNet, di mana pembayaran akan dipegang pihak ketiga dan hanya dilepaskan kepada penjual selepas pembeli menerima barangan mereka dengan selamat.
