PETALING JAYA: Suspek kes samun bersenjata bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis dalam operasi di Kampung Titingan, Tawau, Jumaat lalu menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan.
Ketua Polis Tawau, Rosdi Mat Jusoh, berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan menjalankan operasi di perkampungan air berkenaan.
Katanya, operasi bertujuan mengesan suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun berlaku kira-kira jam 3.50 pagi, hari sama.
Menurutnya, dalam kejadian itu tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.
"Semasa operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.
"Suspek turut memukul dan cuba melemaskan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum suspek berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Rosdi berkata, susulan itu dua anggota polis cedera dan pihaknya turut merampas sebatang besi digunakan ketika kejadian.
“Suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an, tidak memiliki dokumen pengenalan sah dan ujian saringan awal air kencing mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Beliau menegaskan, rakaman video tular sebenarnya memaparkan tembakan amaran sahaja dilepaskan dan bukan insiden berbalas tembakan ketika operasi terbabit.
Katanya, ia mungkin disalah tafir segelintir warganet di media sosial.
"Polis masih mengesan dua lagi suspek dipercayai terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan," katanya.
