PETALING JAYA: Dua naib presiden baharu Warisan dipilih daripada lapan pemimpin parti yang bertanding bagi merebut tiga jawatan itu pada pemilihan yang diadakan semasa mesyuarat agung tahunan Warisan di Sandakan, Sabah hari ini.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, dan bekas ketua penerangan Warisan, Azis Jamman, menyertai Naib Presiden, Junz Wong, yang berjaya mengekalkan jawatannya.
Pemimpin lain yang bertanding ialah penyandang jawatan Jaujan Sambakong dan Terrence Siambun, serta Adun Darau, Azhar Matussin; Adun Kapayan, Chin Tek Ming dan Timbalan Ketua Warisan Kota Belud, Charles Ebbie.
Jenifer Lasimbang dipilih sebagai ketua Wanita dan Norsabrina Japar dipilih sebagai ketua Wirawati, manakala Khairuddin Daud memenangi jawatan ketua Pemuda tanpa bertanding.
Borneo Post sebelum ini melaporkan dua jawatan tertinggi Warisan sekali lagi tidak dipertandingkan, dengan pengasas merangkap Presiden Shafie Apdal, kekal sebagai ketua parti untuk sepenggal lagi, manakala Darell Leiking terus berkhidmat sebagai timbalannya.
