Datuk kepada Irene Sofiya meluahkan rasa sedih atas pemergian cucunya yang dipercayai dibunuh dan berharap keadilan dapat ditegakkan.
BATU PAHAT: Pemergian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang dipercayai dibunuh rakan sekelasnya pada 3 Okt sukar untuk diterima datuknya Khyar Abas yang masih mengingati kenangan dengan remaja itu hingga kini.
Khyar, 69, berkata mereka sekeluarga masih terbayang kehadiran Irene Sofiya di rumah terutama apabila melihat pakaian dan bilik Irene Sofiya, 16, dan setakat ini, mereka juga masih tidak mengusik barangan milik cucunya.
“Memang tidak boleh lupa. Cucu sentiasa bersama-sama saya dan isteri di rumah, jadi kehilangan ini masih sangat terasa.
“Masih terasa seolah-olah dia ada di rumah. Bilik yang saya sediakan dan semua barang miliknya masih saya biarkan begitu sahaja kerana tidak sampai hati untuk mengusik barang arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Parit Selamat di sini hari ini.
Khyar berharap keadilan dapat ditegakkan buat Irene Sofiya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya berharap tertuduh mendapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan. Bagaimanapun, itu bergantung kepada keputusan pihak berwajib. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Khyar berterima kasih kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan agensi kerajaan yang mengunjungi keluarganya bagi memberikan sokongan moral.
Lelaki itu berkata mereka sangat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan ketika berhadapan dengan kehilangan tersebut.
Pada 3 Okt, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng di sini pada kira-kira 5 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki tingkatan empat berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
