ISTANBUL: Deloitte Cyprus membantu oligarki Rusia, Roman Abramovich menyembunyikan sekurang-kurangnya USD10 bilion dalam bentuk aset dan didakwa mengelak cukai berjuta-juta dolar melalui dokumen dipalsukan, menurut satu siasatan yang diterbitkan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Siasatan bersama oleh BBC, The Bureau of Investigative Journalism, The Guardian dan Organised Crime and Corruption Reporting Project membongkar lebih 1,000 rekod diundurkan tarikhnya membabitkan lebih 100 syarikat antara 1999 hingga 2013, termasuk dokumen digunakan untuk menyokong penyata kewangan mengelirukan.
Dalam satu kes, dokumen ditukar tarikh itu menyebabkan aset lebih USD10 bilion yang dipegang Electus Investments berpangkalan di Cyprus kelihatan seperti dimiliki sebuah syarikat dengan nama sama di British Virgin Islands, sekali gus membolehkan pegangan itu terlepas daripada keperluan pendedahan awam.
Dalam kes lain, akaun kewangan yang diluluskan Deloitte tidak memasukkan hartanah mewah, kapal persiaran mewah dan jet peribadi bernilai USD672 juta milik syarikat Abramovich, Amiscan Investments, menurut siasatan itu.
Penyiasat turut membongkar skim didakwa elak cukai membabitkan kira-kira USD2 bilion yang dipegang Kravin Investments. Dokumen diundurkan tarikh itu menyebabkan dana berkenaan kelihatan seperti milik syarikat luar pesisir lain, yang berpotensi membolehkan Kravin Investments mengelak cukai berjuta-juta dolar ke atas pendapatan faedah.
Peguam Abramovich menafikan beliau menyembunyikan aset, mengelak cukai atau secara sedar mengambil bahagian dalam pemalsuan tarikh itu, sambil menegaskan beliau bergantung secara sah kepada penasihat profesional.
Deloitte Cyprus memaklumkan ia "bertindak mengikut undang-undang berkuat kuasa" dan tidak dapat mengulas surat-menyurat khusus bertarikh lebih 20 tahun lalu.
Siasatan itu tidak menemui bukti pembabitan entiti Deloitte di luar Cyprus.
Abramovich, bekas pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, dikenakan sekatan oleh United Kingdom susulan perang di Ukraine pada 2022 atas dakwaan hubungannya dengan Presiden Vladimir Putin.
