KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan memberikan subsidi kepada perusahaan kecil selama tujuh bulan bagi membantu mereka membayar gaji pekerja mengikut kadar gaji minimum baharu RM2,000, berbanding mengecualikan mereka daripada kenaikan itu.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata skim itu akan dimulakan dengan 500,000 pekerja di perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan kerajaan menambah RM300 bagi setiap pekerja.
Pada kadar RM300 sebulan, beliau menganggarkan subsidi itu menelan belanja sehingga RM150 juta sebulan atau RM1.05 bilion bagi tempoh tujuh bulan, tidak termasuk kos pentadbiran.
Fadhli berkata pengecualian syarikat kecil daripada pelaksanaan gaji minimum baharu bermakna pekerja mereka terus menerima gaji RM1,700 sebulan, sedangkan pekerja di syarikat besar memperoleh RM2,000.
“Bagaimanapun, pengecualian ini tidak menyelesaikan masalah pokok. Sebaliknya, ia berisiko mewujudkan dua kumpulan pekerja dengan kadar gaji minimum yang berbeza,” katanya.
“Ini memberi kesan buruk kepada pekerjaan. Ia boleh menyebabkan pekerja mahir berpindah ke syarikat besar, sekali gus menyukarkan PMKS mengekalkan pekerja dan akhirnya menjejaskan daya saing mereka.”
Bagi membiayai subsidi itu, Fadhli mencadangkan peruntukan RM3.8 juta bagi setiap Ahli Parlimen kerajaan pada 2027 dipotong, yang menurutnya boleh menjimatkan RM581.4 juta.
“Daripada langkah itu sahaja, kita boleh menjimatkan lebih setengah bilion ringgit daripada peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan,” dakwanya.
Beliau berkata baki dana boleh diperoleh melalui pemotongan perbelanjaan kerajaan yang lain, termasuk peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menurutnya meningkat daripada RM10 bilion kepada RM11.6 bilion.
Di bawah Belanjawan 2027, gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun depan, namun perniagaan dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta akan dikecualikan.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin semalam turut membangkitkan kebimbangan sama dengan memberi amaran bahawa pengecualian itu akan mewujudkan gaji berbeza dalam kalangan pekerja.
