KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan empat kumpulan disyaki terbabit kegiatan samun dan mencuri kabel milik syarikat laluan rel pantai timur (ECRL) dan Telekom Malaysia (TM) menerusi beberapa operasi dari 12 Okt hingga hari ini di sekitar Temerloh serta Mentakab.
Ketua Polis Temerloh, Nasyim Bahron, berkata sepanjang bulan lalu hingga bulan ini, dua kes samun stor simpanan kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM dilaporkan di sekitar Temerloh, Mentakab serta Lanchang.
Menurutnya, 17 lelaki tempatan berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi itu, dengan kerugian dialami ECRL dan TM bagi semua kes itu dianggarkan berjumlah RM75,000.
"Kumpulan pertama dikenali 'Geng Ravi' ditumpaskan menerusi operasi dari 12 hingga 15 Okt. Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai turut terlibat beberapa kes kecurian besi dan kabel di tapak projek serta kilang lama ditinggalkan sejak Julai tahun ini, selain mengesan dua lagi suspek masih bebas," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada 14 Okt lalu, pihaknya berjaya menumpaskan 'Geng Kepala' yang dipercayai turut terbabit beberapa kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di stor simpanan, kilang dan tepi jalan sekitar Mentakab sejak Ogos lalu.
Jelasnya, polis turut menahan seorang lelaki 28 tahun yang dipercayai anggota 'Geng Dany' di Mentakab semalam kerana disyaki mencuri kabel TM, selain kumpulan itu dipercayai pernah aktif melakukan kegiatan sama di sekitar Kuala Lumpur.
"Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit beberapa kes kecurian kabel TM di tepi jalan sekitar Mentakab sejak Oktober tahun ini bersama seorang lagi rakan masih bebas."
Dalam operasi awal pagi ini pula, beliau berkata, pihaknya menumpaskan 'Geng Mista' dipercayai turut terbabit beberapa kes kecurian kabel TM dalam lubang lurang dan tiang tepi jalan sekitar Temerloh, Mentakab, Jerantut dan Maran sejak Julai.
"Ketua kumpulan itu turut dikenal pasti anggota Geng Kepala yang ditahan pada 14 Okt, manakala seorang lagi suspek masih bebas."
Katanya, polis turut merampas pelbagai kenderaan, termasuk sebuah lori, selain gelung dan potongan kabel milik ECRL, TNB serta TM, potongan besi tiang dan pelbagai peralatan mencuri serta memproses kabel.
Menurutnya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 379 dan 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
