PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerima 10 aduan rasmi mengenai petrol RON95 yang didakwa bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan pengguna di beberapa kawasan di negeri itu.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata susulan aduan itu pihaknya semalam menjalankan siasatan lapangan dan tindakan penguatkuasaan di tujuh premis stesen minyak.
“Hasil di lapangan, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 telah diambil dan disita daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua premis berkenaan memiliki Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.
Katanya, KPDN juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menghendaki pemilik stesen minyak mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan berhubung kemungkinan berlaku pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 Akta Perihal Dagangan 2011, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua syarikat dan pengusaha stesen minyak supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Hanif turut menasihati pengguna yang terjejas untuk menyimpan resit rasmi pengisian petrol serta laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan dan membantu siasatan.
