PETALING JAYA: PAS Melaka akan akur dengan apa juga keputusan pimpinan pusat berhubung logo yang akan digunakan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Setiausahanya Muhammad Jailani Khamis berkata keputusan sama ada PN akan bertanding menggunakan logo PAS atau parti komponennya perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Tentang penggunaan logo pada pilihan raya Melaka ini, ia adalah keputusan pusat.
“Saya sendiri berpendapat biarlah pusat yang membuat keputusan, iaitu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dan kami di Melaka, insya-Allah, akur dengan apa saja keputusan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu masih boleh bertanding pada PRN Melaka, 14 Nov ini, menggunakan logo parti anggotanya walaupun pendaftaran PN dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata parti anggota PN belum memutuskan logo yang akan digunakan dan perkara itu akan dibincangkan bersama.
PRN Melaka ditetapkan pada 14 Nov, dengan penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Jabatan itu berkata keputusan dibuat selepas meneliti dokumen dan penjelasan PN yang diterima pada 12 Okt, yang didapati tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Pembatalan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Jul.
PN sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 5 Okt bagi mencabar notis JPPM, sebelum mendapat kebenaran memulakan prosiding berkenaan pada 13 Okt.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti PN. Pendengaran permohonan penangguhan dengan kehadiran kedua-dua pihak ditetapkan pada 22 Okt.
Mengulas pembatalan itu, Jailani mempersoalkan tindakan JPPM dibuat sebelum mahkamah memutuskan permohonan PN berkaitan penggunaan lambangnya.
“Seharusnya JPPM menunggu dulu keputusan mahkamah pada 22 haribulan ini sebelum membuat apa-apa tindakan membatalkan pendaftaran PN.
“Pada saya, tindakan ini tidak wajar dan tidak sepatutnya dibuat. Ia melanggar prinsip demokrasi yang kita amalkan di Malaysia,” katanya.
