PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengusulkan cadangan subsidi diesel bagi perkhidmatan feri Kudat-Pulau Banggi kepada Kementerian Kewangan (MoF).
Menteri, Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu dibuat berikutan pengurangan kekerapan perjalanan oleh dua syarikat pengendali feri berikutan peningkatan kos operasi dan bahan api.
Katanya, laluan feri berkenaan merupakan pengangkutan utama penduduk setempat untuk aktiviti ekonomi, sosial, perkhidmatan asas serta bekalan harian, bukannya tertumpu kepada aktiviti pelancongan.
"Adalah diharapkan pertimbangan subsidi ini akan membolehkan kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula jumlah kekerapan perjalanan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perincian mekanisme pelaksanaan subsidi tersebut akan diumumkan kelak tertakluk kepada kelulusan dan keputusan MoF.
Mengulas lanjut, Armizan berkata pihaknya turut memperkasakan inisiatif sara hidup bagi penduduk Pulau Banggi melalui pelaksanaan program Jualan Rahmah Madani sebanyak 35 siri setakat tahun ini, serta program pengedaran barang perlu yang merangkumi 77 pusat jualan di tiga zon.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata sebanyak 205,167 syarikat dengan 514,111 kenderaan perdagangan telah berdaftar bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seluruh negara, sehingga 18 Okt.
Bagi Sabah sahaja, sebanyak 17,703 syarikat melibatkan 38,659 kenderaan mendaftar, manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) merekodkan 995 syarikat iaitu 1,408 kenderaan dan satu pendaftaran bagi pengangkutan awam air.
