PETALING JAYA: Amanah yakin mampu mempertahankan Bukit Katil pada PRN Melaka bulan depan walaupun penganalisis politik Ong Kian Ming meramalkan DUN itu berpotensi dirampas Barisan Nasional (BN).
Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat berkata keyakinan itu berdasarkan rekod perkhidmatan penyandang, Adly Zahari, yang melaksanakan lebih 280 inisiatif sepanjang penggal lalu.
“Perkhidmatan terbaik telah diberikan. Terpulang kepada pengundi untuk menilai dan memilih.
"Persiapan jentera Amanah bagi mempertahankan Bukit Katil berada pada tahap terbaik, dengan gerak kerja mendekati pengundi telah dimulakan,” katanya kepada FMT.
Ong sebelum ini meramalkan BN mampu mempertahankan 21 kerusi dimenangi pada PRN 2021 dan menambah tiga hingga empat kerusi lagi, termasuk kemungkinan merampas Bukit Katil daripada Adly serta Ayer Keroh yang dianggap kubu kuat DAP.
Ashraf turut menyifatkan ramalan bekas pemimpin DAP itu sebagai pandangan peribadi.
“Pandangan Ong adalah pendapat peribadi dan semua pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing.
“Jentera Amanah tidak pernah memandang ringan ramalan mana-mana pihak dan sentiasa berusaha meningkatkan gerak kerja serta menyantuni pengundi,” katanya.
Ashraf turut yakin PH berpeluang kembali mentadbir Melaka walaupun berdepan kemungkinan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN).
Dakwanya, perpecahan antara PAS dan Bersatu melemahkan PN, manakala PH mampu memberi saingan sengit kepada kedua-dua gabungan itu.
“Peluang PH tetap ada untuk kembali mentadbir Melaka walaupun bakal berdepan BN dan PN. Rakyat bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan gelombang biru yang dicipta.
“Selepas apa yang berlaku di Negeri Sembilan, jelas gelombang biru juga tidak mampu menyelesaikan masalah dicipta sendiri,” katanya.
Beliau berharap rekod pentadbiran PH ketika menerajui Melaka dari 2018 hingga 2020 menjadi pertimbangan hampir 700,000 pengundi.
“Antara inisiatif diketengahkan adalah program Hari Bertemu Rakyat, Rumah Peduli dan Rumah Belia, selain usaha mengurangkan birokrasi serta menjimatkan wang kerajaan,” katanya.
