KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan agar Putrajaya mempertimbangkan pemberian autonomi fiskal yang lebih luas kepada Langkawi untuk menguruskan cukainya sendiri, selain memanfaatkan hasil berkenaan bagi membiayai pembangunan tempatan.
Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, walaupun pulau peranginan itu menjana berbilion ringgit menerusi sektor pelancongan, sebahagian besar hasil cukai disalurkan ke kantung persekutuan, walaupun pelbagai peringkat kerajaan terpaksa menanggung kos perkhidmatan dan pembangunan.
Sehubungan itu, Suhaimi mencadangkan pelaksanaan 'Model Autonomi Fiskal Langkawi' secara desentralisasi, mencontohi Hong Kong yang merupakan wilayah pentadbiran khas China, atau Switzerland yang mana semua 26 kantonnya menikmati tahap autonomi cukai yang tinggi.
"Menerusi model ini, Langkawi menentukan sebahagian cukai, mengutip sendiri, menyimpan sebahagian besar hasil, bertanggungjawab terhadap sebahagian besar perbelanjaan.
"(Sementara itu) persekutuan masih menanggung perkara nasional seperti pertahanan, keselamatan negara, imigresen, dasar luar, dan sebahagian infrastruktur strategik," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Suhaimi berkata, Langkawi boleh diberi kuasa menguruskan cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan cukai tanah, lesen perniagaan, serta memperkenalkan levi ke atas sektor pelancongan, penginapan hotel dan perkhidmatan feri.
Tambahnya, dengan rekod melebihi 3.2 juta pelawat pada 2025, pengenaan levi sederhana sebanyak RM30 bagi setiap individu berupaya menjana hampir RM100 juta setahun.
"Jika digabungkan dengan hasil sedia ada dan sumber berkaitan pelancongan lain, Langkawi berpotensi mengurus sekitar RM250 juta hingga RM350 juta setahun untuk membiayai infrastruktur kebersihan, pengangkutan, bekalan air, dan pembangunan pelancongan, tanpa menunggu sepenuhnya peruntukan kerajaan persekutuan," katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di Langkawi menggesa semakan semula terhadap cukai yang dikenakan ke atas produk mereka apabila dihantar ke tanah besar.
Menurutnya, produk keluaran PMKS seperti kraftangan dan makanan ringan menjadi lebih mahal apabila dipasarkan di tanah besar disebabkan cukai itu.
"Apabila dicukai, harga tepung di tanah besar dan di Langkawi sama. Kuihnya menjadi mahal bila dibawa hanya ke Kuala Perlis.
"Jadi (PMKS) meminta supaya mengkaji semula kedudukan cukai barangan 'made in Langkawi'," katanya.
