KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membatalkan cadangan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun khas Lembaga Tabung Haji (TH) kerana dikhuatiri membebankan golongan berpendapatan rendah, khususnya penduduk luar bandar.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata syarat itu tidak semestinya mencerminkan kemampuan sebenar bakal jemaah, malah menyukarkan pasangan suami isteri yang perlu menyediakan simpanan berjumlah RM30,000.
"30,000 ini bagi orang kampung satu jumlah yang sangat besar. Kalau dah senaraikan mereka dapat pergi haji, mereka memang dah persiapkan duit.
"Tapi nak masukkan RM30,000 dalam akaun sampai pergi haji, apa mekanisme yang dibuat?" katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Timbalan presiden PAS itu turut menggesa TH kembali kepada matlamat asal penubuhannya, iaitu memudahkan umat Islam menunaikan ibadah haji, bukannya menambah beban kewangan bakal jemaah.
"Asal usul Tabung Haji diwujudkan ialah untuk memudahkan umat Islam pergi haji. Hari ini ia dah jadi entiti bisnes dan beban dikembalikan kepada jemaah," katanya.
Beliau turut mengambil contoh Mara, Felcra dan Risda yang menurutnya pernah menceburi bidang di luar fungsi asal penubuhan sehingga ada kolej terpaksa ditutup.
Isu syarat simpanan minimum itu turut dibangkitkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Hamzah dilaporkan bimbang kira-kira tiga juta pendeposit sedia ada mungkin terkeluar daripada senarai giliran haji sekiranya syarat berkenaan dilaksanakan.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 80% daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang mendaftar untuk menunaikan haji masih belum mencapai jumlah simpanan minimum RM15,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keadaan itu menunjukkan pentingnya pendeposit TH membuat persediaan kewangan lebih awal.
Langkah menetapkan syarat itu dibuat untuk memastikan kemampuan kewangan serta penolakan atau penangguhan tawaran.
