PETALING JAYA: Wakil rakyat kerajaan menyokong cadangan peruntukan kawasan diletakkan di bawah kawalan Parlimen bagi memastikan semua Ahli Parlimen mendapat layanan adil.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata agihan peruntukan dan perbelanjaan pejabat Ahli Parlimen perlu dibuat secara sama rata, dengan perbelanjaan pembangunan kawasan diaudit bagi mengelakkan penyalahgunaan dana.
Katanya, Majlis Perkhidmatan Parlimen, yang dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, perlu bekerjasama dengan Kabinet membentangkan rang undang-undang bagi memastikan agihan adil itu termaktub dalam undang-undang dan dipatuhi kerajaan seterusnya.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, berkata cadangan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, wajar diteliti tanpa mencampuradukkan fungsi Parlimen dengan tanggungjawab kerajaan mengurus pembangunan negara.ra
Naib presiden PKR itu berkata, keutamaan ialah memastikan rakyat mendapat manfaat daripada peruntukan, sambil menegaskan pembangunan di kawasan pembangkang tetap diteruskan melalui kementerian dan agensi kerajaan.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim pun sudah beberapa kali menjelaskan pembangunan di kawasan pembangkang tetap diteruskan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Anwar sebelum ini sudah membuka ruang rundingan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Malah, cadangan memorandum persefahaman (MoU) juga pernah dikemukakan tetapi ditolak," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, mempersoalkan mengapa pembangkang hanya mendesak supaya agihan peruntukan dimasukkan dalam pengurusan Majlis Perkhidmatan Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan.
“Sepatutnya mereka minta perkara itu semasa perbahasan akta berkenaan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, pakar undang-undang Universiti Teknologi Malaysia, Muhammad Fathi Yusof, berkata agihan adil boleh dilaksanakan melalui komitmen pentadbiran tanpa perlu pindaan Perlembagaan.
Beliau berkata, mekanisme jelas berasaskan peraturan bertulis penting bagi memastikan agihan dibuat secara adil tanpa mengira sama ada sesebuah parti berada dalam kerajaan atau pembangkang.
Shahidan sebelum ini menggesa peruntukan kawasan diletakkan di bawah kawalan Parlimen bukan lagi perdana menteri, dengan alasan autonomi badan itu perlu turut merangkumi pengurusan peruntukan, ketika Ahli Parlimen pembangkang masih tidak menerima peruntukan setara wakil kerajaan.
