KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyegerakan pembentangan pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) bagi melaksanakan ‘Lemon Law’, dengan liputan merangkumi kenderaan terpakai dan barangan elektrik.
Zahari Kechik (PN-Jeli) berkata, pelaksanaan undang-undang berkenaan penting bagi memberi hak kepada pengguna menuntut pembaikan, penggantian, atau pembayaran balik sekiranya produk yang dibeli mengalami kerosakan berulang.
Menurutnya, ‘Lemon Law’ berbeza dengan waranti biasa kerana ia melindungi pengguna walaupun tempoh waranti masih sah atau sudah tamat.
"Ia sekaligus mewajibkan pengeluar dan penjual bertanggungjawab jika produk itu gagal menepati atau melepasi standard yang dijanjikan," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
"Langkah ini penting bagi mengembalikan keyakinan pengguna dan pasaran, pada masa sama memaksa pengeluar meningkatkan kawalan kualiti serta memastikan pengguna tidak terus menanggung produk yang cacat."
Beliau menambah, pelaksanaan undang-undang itu diyakini akan membolehkan negara bergerak selangkah ke hadapan dalam memastikan hak pengguna terus terpelihara dan keadilan ditegakkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa skop perlindungan undang-undang berkenaan diperluas melebihi kenderaan baharu.
"Jeli ingin mencadangkan supaya produk tidak hanya terhad kepada kenderaan baharu sahaja, tetapi juga kepada kenderaan terpakai serta produk-produk lain seperti barangan elektrik," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan persekutuan untuk 2026 dilaporkan berkata, undang-undang yang melindungi pengguna daripada membeli kenderaan yang rosak, iaitu ‘Lemon Law’ akan dimasukkan dalam Akta 599 bagi menjaga hak orang ramai.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, akta itu akan dipinda untuk memasukkan undang-undang yang bertujuan menyediakan pengguna dengan remedi supaya mereka boleh mendapatkan pampasan bagi produk yang gagal memenuhi piawaian.
