PETALING JAYA: Harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter mulai esok.
Minyak RON97 akan dijual pada harga RM5.10 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.62 seliter, dan diesel tanpa subsidi pada RM5.17 seliter hingga 21 Okt.
Sementara itu, harga RON95 di bawah skim BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, sementara diesel pada RM2.10 seliter di bawah inisiatif BUDI Diesel, menurut Kementerian Kewangan.
Petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) terus dijual pada RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi USD100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan apabila China membenarkan semula eksport bahan api bulan ini, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau.
Namun begitu, konflik di Asia Barat yang semakin meluas, termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum, tambahnya.
"Ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana," kata kementerian menerusi kenyataan.
Kementerian menegaskan, kerajaan Madani akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, dengan RM40 bilion dibelanjakan bagi subsidi bahan api tahun depan, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.
