KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Sarawak menyuarakan kebimbangan mengenai sikap tiada toleransi agama dalam kalangan kanak-kanak, merujuk kes murid sekolah rendah yang enggan duduk bersebelahan rakan sekelas berlainan agama.
Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata, seorang guru baru-baru ini mengadu kepadanya tentang kesukaran mendidik generasi muda hari ini.
“Malah, ada anak murid yang enggan duduk di sebelah rakan sekelas beragama Kristian atau Islam,” katanya di Dewan Rakyat.
“Ada yang berkata, ‘Saya tak mahu duduk dengan mereka sebab mereka makan babi’, atau ‘Saya tak mahu duduk dengan mereka sebab mereka pakai salib’.
“Jika isu ini tidak ditangani pada peringkat sekolah rendah, ia boleh menular sehingga menjadi masalah yang parah."
Susulan itu, Willie bertanya kepada menteri perpaduan negara mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi memperkukuh literasi digital serta pemikiran kritis, di samping memupuk toleransi dan persefahaman antara agama dan kaum, terutamanya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.
Beliau berkata, inisiatif sedemikian penting bagi membendung penyebaran berita palsu, stereotaip serta kandungan provokatif sebelum ia mencetuskan konflik sosial dan kontroversi berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Menjawab perkara tersebut, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang memaklumkan, pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) sedang diambil bagi menangani isu-isu sensitif ini.
“Sudah tentu, usaha ini perlu dimulakan dari peringkat awal, iaitu di sekolah, tempat kanak-kanak dapat berinteraksi antara satu sama lain tidak kira kaum, agama mahupun budaya,” katanya.
Aaron turut memetik Kempen Internet Selamat anjuran Kementerian Komunikasi yang memupuk etika penggunaan Internet serta amalan media sosial yang bertanggungjawab, selain peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) menerusi 1,097 lokasinya di seluruh negara.
Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara turut melaksanakan pelbagai program melalui jabatan integrasinya.
“Inisiatif ini merangkumi program pendidikan dan penghayatan perpaduan seperti program Gerak Integrasi Perpaduan, Jaringan Integrasi Mahasiswa, Jejak Harmoni, Jelajah Belia Rukun Negara serta Wacana Harmoni.
“Kesemua program ini bermatlamat memastikan kanak-kanak dan golongan belia berinteraksi secara wajar serta menyemai semangat kebersamaan,” kata menteri itu.
