Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dua pelajar tempatan berjaya meraih gelaran juara dunia dalam pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa, HIPPO English Without Borders World Finals 2026 di Itali

Dua pelajar berkenaan, Jaden Leong Wen Hao, 16, dan Diana Aleesa Fareez Shahfiqar, 8, masing-masing muncul juara dalam kategori HIPPO 4 dan Baby Hippo pada pertandingan yang menghimpunkan peserta dari lebih 70 negara itu.
Menurut laporan Kosmo!, Jaden, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak, mengakui tidak menyangka namanya diumumkan sebagai juara dunia selepas hampir berputus asa ketika menunggu keputusan pertandingan.
Menurutnya, dia menyangka peserta dari Jordan akan diumumkan sebagai pemenang sebelum mendengar nama Kuala Lumpur disebut oleh pengacara majlis.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Jaden memandangkan bahasa Inggeris sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.
Bagi menghadapi pertandingan tersebut, dia membuat persiapan secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada tatabahasa melalui latihan dalam talian menggunakan telefon bimbit.
Dia turut mengumpulkan nota bahasa Inggeris serta kesilapan yang dilakukan dalam dokumen Google bagi memudahkan proses ulang kaji.

Selain itu, bantuan guru bahasa Inggeris di sekolah yang menyediakan latihan percuma turut membantunya meningkatkan kemahiran bertutur dan menulis
Walau bagaimanapun, ujian bertutur menjadi antara cabaran paling sukar apabila dia dan pasangannya berasa gementar sehingga beberapa kali tersekat ketika berbual.
Jaden kemudian cuba mengawal perasaan gugup dengan menenangkan diri serta mengemukakan soalan kepada pasangannya supaya perbualan dapat diteruskan.
Penyertaannya dalam pertandingan antarabangsa itu turut memberi peluang kepadanya mengenali budaya berbeza dan memahami isu yang dihadapi masyarakat di negara lain.
Diana bangkit selepas gagal pada percubaan pertama
Sementara itu, Diana Aleesa yang bersekolah di Cempaka National Schools, Cheras, Selangor, membuktikan kegagalan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila muncul juara dunia kategori Baby Hippo pada percubaan keduanya.
Kanak-kanak berusia lapan tahun itu sebelum ini gagal melepasi pusingan pertama ketika menyertai pertandingan berkenaan pada tahun lalu.
Pengalaman tersebut mendorongnya membuat persediaan lebih rapi dan kembali bertanding dengan keyakinan yang lebih tinggi.
Diana berkata, ibu bapanya sentiasa mengingatkannya bahawa setiap impian memerlukan usaha dan latihan, namun tidak pernah memaksanya belajar setiap hari.
Sebaliknya, mereka menekankan kepentingan melakukan yang terbaik serta memastikan dia memahami bahawa kasih sayang keluarga tidak bergantung pada keputusan pertandingan.

Dalam persiapannya, Diana turut membiasakan diri menyemak jawapan sebanyak tiga kali selepas selesai menjawab soalan peperiksaan akhir
Dia bagaimanapun mengakui bahagian penulisan merupakan cabaran paling sukar kerana perlu memastikan struktur ayat dan ejaan tepat.
Penguasaan bahasa Inggerisnya turut dipupuk melalui komunikasi harian bersama ibu bapanya yang membiasakan penggunaan ayat penuh dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Selain itu, Diana sudah didedahkan dengan buku sejak kecil dan kini membaca satu hingga dua buah buku sebelum tidur.
Ibu bapanya juga menggalakkan aktiviti kreatif seperti melukis, mewarna dan menghasilkan kraf tangan, selain mengehadkan masa penggunaan skrin supaya proses pembelajaran tidak bergantung sepenuhnya pada peranti digital.
Diana berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada rakan sebaya untuk berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.
Menurutnya, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri dan kebolehan dalam sesuatu bidang boleh dikembangkan menerusi usaha berterusan.
Kejayaan Jaden dan Diana bukan sahaja membuktikan kemampuan pelajar Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa, malah menunjukkan kepentingan latihan konsisten, sokongan keluarga dan keyakinan diri dalam membina kemahiran bahasa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

