PETALING JAYA: Pakar berpendapat kajian mendalam perlu dijalankan bagi menentukan bagaimana Grand Prix Bahrain F1 yang berlangsung di Sepang baru-baru ini menjana aktiviti ekonomi bernilai RM950 juta, sebelum kerajaan menjadikannya acara tetap.

Ahli ekonomi dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, berkata Malaysia perlu terlebih dahulu mengenal pasti jumlah perbelanjaan sepanjang hujung minggu perlumbaan pada 2 hingga 4 Okt daripada pelancong asing yang datang khusus untuk menyaksikan perlumbaan F1 itu.
Jelasnya, sebahagian daripada sumbangan ekonomi itu mungkin datang daripada rakyat Malaysia sendiri, yang sebaliknya akan membelanjakan wang mereka di tempat lain, sama ada bercuti atau melakukan aktiviti riadah lain.
Pensyarah pengurusan pelancongan di Universiti Teknologi Mara, Hafiz Hanafiah, berkata perbelanjaan yang benar-benar memberi impak ialah perbelanjaan oleh pelancong asing.
Bagi menjelaskan pandangannya, beliau menggunakan analogi tab mandi.
"Bayangkan ekonomi Malaysia seperti sebuah tab mandi," katanya kepada FMT sambil menjelaskan jumlah air di dalam tab mandi hanya akan bertambah apabila lebih banyak air dituang ke dalamnya.
"Jika seorang rakyat Malaysia membatalkan percutian ke Langkawi semata-mata untuk membeli tiket F1, dia sebenarnya hanya memindahkan air dari satu bahagian tab mandi ke bahagian lain. Keadaan mungkin kelihatan sibuk, tetapi paras air tidak meningkat."
Katanya, perbelanjaan pelancong asing amat diperlukan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Taufik Johari, mengumumkan Grand Prix Bahrain F1 menjana pendapatan USD232 juta, bersamaan RM950 juta kepada Malaysia.
Seramai 261,000 penonton memenuhi tempat duduk penonton sepanjang tiga hari perlumbaan itu berlangsung. Selain itu, Taufik berkata, acara itu menarik lebih 50,000 pelancong asing ke Malaysia.
Jelasnya, kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan menganjurkan F1 beberapa tahun sekali, dengan kerjasama negara lain berbanding menganjurkannya setiap tahun.
Tetapi, beliau berkata, cadangan itu masih di "peringkat awal" dan laporan mengenai kos serta manfaat dijangka siap menjelang akhir bulan depan.
Hafiz berkata, walaupun Malaysia hanya menjadi tuan rumah sekali dalam tempoh beberapa tahun, setiap kali penganjuran perlu menjana sekurang-kurangnya RM300 juta hasil tambahan daripada perbelanjaan pelancong asing bagi memastikan ia berbaloi.
Pun begitu, jumlah itu hanya cukup untuk menampung yuran penganjuran yang perlu dibayar kepada Liberty Media, pemegang hak komersial F1.
Bagi perlumbaan F1 di Sepang baru-baru ini, Bahrain telah membayar yuran penganjuran, membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada perbelanjaan pelancong tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos awal. Sebagai balasan, jelas Hafiz, Bahrain memperoleh semua hasil jualan tiket.
Yeah berkata, aturan ini tidak akan terpakai bagi acara akan datang, jika Malaysia memutuskan untuk menjadi tuan rumah sekali lagi.
Libatkan sektor swasta, lanjut tempoh acara
Hafiz berkata, kerajaan boleh melibatkan syarikat swasta untuk menaja acara itu dan menampung kos penganjuran F1, seperti yang dilakukan Singapura.
Beliau turut mencadangkan acara berkaitan F1 dilanjutkan kepada 10 hari dan diadakan di kawasan lain seluruh negara bagi menggalakkan pelancong tinggal lebih lama dan seterusnya berbelanja lebih banyak.
Namun, Yeah turut memberi peringatan Putrajaya perlu terlebih dahulu menentukan sama ada RM300 juta yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan itu mungkin lebih baik digunakan bagi keperluan awam lain, seperti sekolah dan hospital.
"Dana yang sama boleh digunakan untuk menangani keutamaan ekonomi lebih mendesak."
Yeah berpendapat, menganjurkan perlumbaan itu sekali-sekala berbanding setiap tahun dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan sambil mengekalkan minat orang ramai. Tetapi, perbelanjaan tetap diperlukan untuk penyelenggaraan berkala Litar Antarabangsa Sepang.
Hafiz berkata, kos menyelenggara litar itu untuk memenuhi piawaian F1 boleh mencecah sehingga RM10 juta setahun.
