PETALING JAYA: Cadangan PAS menggantikan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang tidak lebih daripada provokasi selagi beliau menjalankan tugasnya dengan baik, kata penganalisis yang turut membangkitkan soal kekurangan calon pengganti sesuai.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata tidak timbul keperluan menukar Hamzah semata-mata kerana PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen dalam blok pembangkang.
“Kalau PAS ganti pun, nak ganti dengan siapa? Rasanya memang sudah jelas bahawa dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), mungkin Hamzah adalah yang terbaik.
“Mungkin Ahli Parlimen PAS masih memerlukan masa untuk belajar menjadi ketua pembangkang,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat Puad Zarkashi supaya PAS mengambil alih jawatan ketua pembangkang daripada Hamzah kerana mendakwa prestasinya kurang menyerlah ketika perbahasan Belanjawan 2027, Isnin lalu.
Puad mendakwa Hamzah yang juga presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) gagal mengemukakan cadangan atau dasar baharu dalam perbahasan itu, sebaliknya hanya menyentuh mengenai “enjin pertumbuhan ekonomi berimpak besar”.
Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang pada Disember 2022, sebelum berundur daripada jawatan itu antara April hingga Jun lalu selepas dipecat daripada Bersatu.
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga pengerusi PN, mengambil alih tugas itu sementara sebelum Hamzah kembali sebagai ketua pembangkang pada Jun.
Sementara itu, Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata PAS mempunyai asas untuk menuntut jawatan berkenaan kerana memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam blok pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, keputusan mengekalkan Hamzah turut mengambil kira kesinambungan kepimpinan serta hubungan antara PAS, Wawasan dan parti pembangkang lain.
“Pertukaran kepimpinan tanpa persetujuan bersama boleh menimbulkan persepsi mengenai krisis kesepaduan dalam kalangan pembangkang.
“Kritikan Puad terhadap prestasi Hamzah ketika perbahasan Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan kekuatan hujah, cadangan dasar alternatif dan keberkesanan semak imbang, bukan semata-mata kedudukan individu atau parti,” katanya.
Tawfik turut menggesa pembangkang menyediakan belanjawan alternatif bagi menunjukkan keupayaan mereka sebagai kerajaan menunggu.
