KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan agar pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara serta-merta terhadap mana-mana individu yang didapati merosakkan rumah ibadat, berbanding sekadar mengenakan denda.
P Prabakaran (PH-Batu) membangkitkan kes baru-baru ini apabila patung keagamaan di sebuah kuil berhampiran Lebuhraya Baru Pantai dirosakkan.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang jauh lebih tegas terhadap individu-individu yang mencemarkan rumah ibadat.
“Jangan benarkan ikat jamin atau ambil tindakan lain yang akan merumitkan keadaan. Terus penjarakan mereka. Ini cadangan saya kepada kerajaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Perbuatan merosakkan rumah ibadat dengan niat menghina agama boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Ketika dihubungi FMT, Prabakaran menegaskan, bagi memelihara ketenteraman awam, hukuman denda wajar dimansuhkan dan digantikan dengan hukuman penjara di bawah seksyen tersebut bagi kesalahan membabitkan penghinaan agama.
