PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mendominasi rundingan kerusi di SG4, kata pemimpin Wawasan mengulas seruan gabungan itu bertanding solo pada PRN Melaka susulan tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di Sungai Udang.
Timbalan Penyelaras Wawasan Melaka Dr Yadzil Yaakub sedar timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PN seperti disuarakan penyandang DUN Sungai Udang, Dr Aleef Yusof.
“Kali ini di Melaka, BN nampak mendominasi, tetapi di negeri lain...giliran PN (di SG4) pula mendominasi," katanya kepada FMT merujuk Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Tegasnya, fokus utama menyertai pilihan raya ialah mencapai kemenangan.
“Bila dua pihak, BN dan PN mengumumkan calon, kita perlu bergerak sebagai satu pasukan. Soal rasa tidak puas hati itu memang ada dalam mana-mana gabungan dan parti, tetapi selepas keputusan muktamad dibuat, semua pihak perlu berlapang dada.
“Bila kita bercakap soal penyatuan ummah dan berbincang, hasil perbincangan itu sudah dimuktamadkan, bermaksud semua pihak mesti bersetuju,” katanya kepada FMT.
Pada PRN Melaka 2021, selain Aleef, Yadzil menang di Bemban dengan keduanya bertanding sebagai calon Bersatu, sebelum mengumumkan menyertai Wawasan.
Terdahulu hari ini, Aleef berkata keputusan BN meletakkan calon di Sungai Udang adalah tindakan pembulian terhadap PAS dan PN. Beliau juga menyeru PN mempertimbang untuk bertanding solo.
Yadzil berkata, beliau akan akur kepada keputusan parti sama ada akan dipilih mempertahankan kawasan berkenaan. Bemban tidak termasuk kawasan mahu ditandingi BN selepas majlis pengumuman calonnya, semalam.
“Kami akur sahaja, termasuk berhubung jumlah pecahan kerusi yang akan ditandingi komponen PN. Kami juga menunggu pucuk pimpinan membuat pengumuman,” katanya.
Semalam, BN umum bertanding 21 kerusi DUN pada PRN Melaka 14 Nov, manakala baki tujuh lagi diserahkan kepada PAS dan rakan gabungannya.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, berkata gabungan itu akan mengumumkan calon dua hari sebelum hari penamaan calon pada 31 Okt.
