PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan berhubung video tular yang dilihat menormalisasikan perkahwinan bawah umur atas dasar agama, menegaskan kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak wajar diutamakan.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Al Adib Samuri merujuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2014 yang mendapati kebanyakan perkahwinan bawah umur di negara ini tidak berlaku demi kebaikan kanak-kanak terbabit.
Sebaliknya, katanya, langkah itu lebih bertujuan menutup 'kesilapan' atau 'aib' keluarga yang terlibat
"... malah ada kes perkahwinan dijadikan jalan untuk menutup kesalahan seksual terhadap kanak-kanak," katanya, lapor Harian Metro.
Adib yang juga pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan restu ibu bapa bukan jaminan bahawa seseorang kanak-kanak itu benar-benar memahami erti perkahwinan.
"Pada usia bawah 18 tahun, keputusan mereka mudah dipengaruhi tekanan keluarga, rasa takut malu atau janji hidup yang lebih senang.
"Apabila pasangannya jauh lebih tua, anak perempuan sukar bersuara," katanya menambah, Islam mengutamakan kesejahteraan anak-anak.
Baru-baru ini, tular video di platform media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa baru sahaja mengahwini seorang remaja berusia 15 tahun, sekali gus mencetuskan reaksi negatif netizen yang mempersoalkan kematangan serta kemampuan remaja itu mempersetujui perkahwinan tersebut.
Beberapa pihak turut meluahkan kebimbangan mengenai risiko kanak-kanak dieksploitasi atau diantuni sebelum berkahwin.
Justeru, Adib menggesa Malaysia mencontohi langkah Indonesia, Jordan, Arab Saudi dan Maghribi yang hanya membenarkan individu berusia 18 tahun ke atas berkahwin.
Pesuruhjaya kanak-kanak itu berkata, negara terbabit melarang perkahwinan bagi individu berusia di bawah 18 atau 19 tahun, walaupun mahkamah masih mempunyai budi bicara membenarkannya dalam keadaan tertentu.
"Malaysia boleh ikut pendekatan sama, dengan kuasa Mahkamah Syariah untuk memberi kebenaran tetap dikekalkan," katanya.
"Perkahwinan ialah institusi mulia dalam Islam, jadi kita mahu memastikan ia dibina atas kesediaan sebenar bukan sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah."
