KUALA LUMPUR: Shahidan Kassim (PN-Arau) menggesa peruntukan kawasan diletakkan di bawah kawalan Parlimen dan bukan lagi perdana menteri bagi memastikan semua Ahli Parlimen mendapat layanan adil.
Beliau berkata, autonomi Parlimen yang dipulihkan itu sepatutnya turut meliputi pengurusan peruntukan kawasan, sedangkan Ahli Parlimen pembangkang masih tidak menerima peruntukan yang sama seperti wakil kerajaan.
“Kami mahu peruntukan yang kini diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan diserahkan kepada Parlimen untuk diuruskan,” katanya selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberikan penerangan kepada Dewan Rakyat mengenai Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Parlimen sepatutnya menguruskan hal ehwal Ahli Parlimen. Perdana menteri tidak sepatutnya campur tangan lagi,” katanya, sambil menambah Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu menyelia pengagihan peruntukan itu.
Chong Zhemin (PH-Kampar) kemudian mencelah dengan berkata Shahidan keliru antara kuasa Parlimen dengan kuasa kerajaan.
Chong berkata, peruntukan kawasan masih di bawah bidang kuasa eksekutif, yang menentukan cara dana itu diagihkan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu duduk dan meminta mereka memberi ruang kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen yang baru dilantik untuk membincangkan perkara itu terlebih dahulu.
Johari, yang juga pengerusi bersama majlis itu, berkata wakil kerajaan dan pembangkang dalam majlis berkenaan boleh membincangkan perkara tersebut. Beliau turut berjanji untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyambut baik jaminan itu, namun berkata layanan adil sepatutnya meliputi semua urusan Parlimen.
Shahidan turut menggesa perwakilan sama rata antara kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan Parlimen.
Beliau mendakwa sesetengah jawatankuasa hanya mempunyai tiga Ahli Parlimen pembangkang daripada keseluruhan 10 ahli.
Shahidan juga menggesa Johari meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan peruntukan kawasan di bawah kawalan Parlimen.
Azalina kemudian menjelaskan Ahli Parlimen perlu membangkitkan perkara yang menjadi kebimbangan mereka melalui wakil masing-masing dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen.
