KUALA LUMPUR: Pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman pertama dicadangkan agar disemak semula untuk terus menyokong pemilikan rumah kediaman pertama oleh warganegara Malaysia.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2027 memaklumkan ini termasuk bagi rumah berharga sehingga RM500,000 yang mana pengecualian duti setem 100% diberikan ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik.
Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian duti setem 100% diberikan bagi RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah sehingga RM750,000 menikmati pengecualian sebanyak 50% ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik.
Cadangan itu akan berkuat kuasa bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang melibatkan perjanjian jual beli disempurnakan mulai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030.
Pada masa ini, pengecualian duti setem 100% diberikan ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembelian rumah kediaman pertama berharga sehingga RM500,000 oleh warganegara Malaysia.
Pengecualian sedia ada itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2027.
Sementara itu, dalam dokumen sama, MoF mencadangkan untuk mengembalikan pengecualian duti setem 100% bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang berkaitan dengan pemulihan projek perumahan terbengkalai bagi tempoh 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030.
Cadangan itu bertujuan menyokong pelaksanaan program Reformasi Perumahan Madani bagi mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.
Pengecualian itu akan diberikan kepada kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal rumah terbengkalai, melibatkan perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada masa ini, bagi kontraktor atau pemaju penyelamat, pengecualian berkenaan meliputi perjanjian pinjaman untuk tujuan pembiayaan serta surat cara pindah milik tanah atau projek perumahan terbengkalai.
Sementara itu, pembeli asal rumah terbengkalai akan menikmati pengecualian bagi perjanjian pinjaman untuk pembiayaan tambahan serta surat cara pindah milik rumah kediaman.
Pengecualian duti setem 100% diberikan bagi urus niaga berkaitan pemulihan projek perumahan terbengkalai untuk perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan antara 1 Jan 2013 hingga 31 Dis 2025.
