PETALING JAYA: Kualiti udara di Pasir Gudang, Johor mencapai tahap sangat tidak sihat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan setakat 7 pagi ini mencecah 205.
Menurut portal Sistem Pengurusan IPU Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU 193 di Larkin, Johor turut menghampiri tahap sangat tidak sihat.
Selain Larkin, kawasan lain di Johor yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Pengerang (175), Batu Pahat (173), Kluang (170), Tangkak (165), Kota Tinggi (163) dan Segamat (159).
Kualiti udara di sebahagian lokasi di Lembah Klang turut mencapai tahap tidak sihat, iaitu Johan Setia (184), Klang (181), Putrajaya (173), Batu Muda, Petaling Jaya dan Shah Alam (170), Banting (169), Cheras (168) dan Kuala Selangor (155).
Di Negeri Sembilan, kualiti udara tidak sihat direkodkan di Nilai (188), Seremban (181) dan Port Dickson (171), manakala keadaan sama di Bandaraya Melaka (179), Bukit Rambai (178) dan Alor Gajah (171) di Melaka.
Di Perak, kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Seri Manjung (171), Tanjung Malim (163), Pegoh Ipoh (155), Tasek Ipoh (152) dan Taiping (102).
Di Pahang, keadaan berjerebu dilaporkan di Temerloh (157), Rompin (153) dan Jerantut (134).
Dua kawasan di Sabah turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Tawau (152) dan Sandakan (103).
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 dikategorikan bahaya.
Semalam, Jabatan Pendidikan Selangor mengumumkan semua sekolah di bawah pentadbiran lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup hari ini akibat jerebu.
Ia meliputi Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama.
Sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan Sabak Bernam beroperasi seperti biasa, tetapi semua aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan.
