KUALA LUMPUR: Sikap segelintir penunggang motosikal yang memandang ringan keselamatan diri walaupun berulang kali dinasihati keluarga membimbangkan polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Suffian Abdullah, berkata sikap itu bukan sahaja membahayakan penunggang, malah pengguna jalan raya lain.
“Hampir 90% kesalahan dikesan melibatkan motosikal yang tidak sempurna atau penunggang tidak mempunyai lesen memandu sah.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah pengubahsuaian komponen motosikal termasuk brek dan ekzos. Remaja bawah umur juga kerap dikesan, namun saringan masih dijalankan untuk menentukan jumlah sebenar mereka yang ditahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu yang menyaksikan polis memeriksa kira-kira 800 motosikal, menyita 60 daripadanya dan mengeluarkan kira-kira 300 saman atas pelbagai kesalahan trafik di ibu negara, awal pagi tadi.
Operasi bagi membanteras kesalahan trafik dan samseng jalanan itu membabitkan 80 pegawai dan anggota polis, dengan bantuan 12 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan serta lima Agensi Antidadah Kebangsaan.
Suffian menggesa ibu bapa dan penjaga memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka tidak menunggang motosikal tanpa lesen sah.
