KUALA LUMPUR: Jika Waze dianggap berbahaya kerana berpangkalan di Israel, penggunaannya perlu disekat untuk semua rakyat bukan hanya penjawat awam.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PAS-Alor Setar) mempersoalkan arahan kepada penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi navigasi itu dan menggesa kerajaan menjelaskan rasional di sebalik larangan.
“Kalau betul Waze itu bahaya, jangan bagi Waze itu masuk Malaysia. Semua orang tak boleh pakai Waze, bukan setakat penjawat awam,” katanya di Dewan Rakyat.
Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Arahan itu terkandung dalam surat Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 20 Okt ditujukan kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, pengurusan badan berkanun persekutuan, setiausaha kerajaan negeri dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Menurut surat itu, keputusan melarang penggunaan Waze, yang disifatkan sebagai aplikasi navigasi ‘berpangkalan di negara Israel’, dibuat pada mesyuarat JKSN, semalam.
Sementara itu, Afnan membangkitkan dakwaan lebih 300 pelajar perempuan di Seremban menjadi mangsa imej bogel palsu yang dijana kecerdasan buatan (AI).
Katanya, penyalahgunaan teknologi sedemikian boleh menjejaskan maruah dan kesihatan mental mangsa. Beliau turut menyentuh ancaman terhadap kanak-kanak, termasuk kemalangan jalan raya, vape dan dadah.
Dalam perbahasan sama, Afnan mempersoalkan penggunaan anggaran RM952 juta yang menurutnya sepatutnya diperuntukkan kepada 68 Ahli Parlimen.
Beliau meminta kerajaan menjelaskan perbelanjaan dan penerima peruntukan itu di Dewan Rakyat.
“Di mana dibelanjakan? Bagi pada siapa? Bentang dalam Dewan ini supaya kita tahu waad itu telah pun ditunaikan,” katanya.
Beliau turut mendakwa, peruntukan bagi kawasan Alor Setar disalurkan kepada agensi persekutuan tanpa rundingan dengan Pejabat Daerah Kota Setar.
Katanya, pejabat daerah sebagai agensi kerajaan wajar dilibatkan dalam perbincangan mengenai peruntukan pembangunan kawasan.
