PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan merangka perancangan jangka panjang berhubung gaji minimum, dengan mengumumkan kadar kenaikan bagi tahun-tahun mendatang lebih awal, agar majikan boleh membuat persiapan.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata langkah ini agar industri sedia membuat perancangan supaya tidak terbeban.
"Kerajaan boleh mengumumkan gaji selepas dua tahun. Contohnya pada sekarang ini sudah umum 2027 berapa, 2029 berapa, 2032 naik berapa.
"Mereka (industri) tidak terkejut dengan pengumuman tersebut," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Pada 9 Okt lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Anwar berkata lebih empat juta pekerja akan mendapat manfaat daripada kenaikan itu.
Dalam pada itu, Wan Razali menyatakan kebimbangannya berhubung kenaikan gaji tanpa perancangan awal boleh menyebabkan sesetengah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terpaksa menghentikan operasi, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan.
Beliau juga bimbang kemungkinan kenaikan gaji minimum mendorong peningkatan harga barang apabila majikan menaikkan harga bagi menampung kos operasi.
