
Di Malaysia, apa sahaja bisa menjadi isu politik. Termasuklah bahasa, sebagaimana tindakan sesetengah netizen cuba mengapi dan mengasapkan pemulauan terhadap rantaian kedai kopi (kopitiam) Oriental Kopi dengan alasan pelayannya kurang mahir berbahasa Melayu, selain menunya tidak cermat kerana tiada di dalam bahasa kebangsaan.
Selamat datang ke politik berbahasa di Malaysia. Apakah dimensi politik bahasa ini? Bagaimanakah cultural authority sedia ada bermain peranan?
Ketika menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-15 di Parlimen pada 19 Jan 2026, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah sebarang usaha untuk mengadakan sistem pendidikan baharu mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. Satu hal yang menonjol pada ucapan baginda itu adalah penegasan agar bahasa Melayu menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan. "Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia".
Isu ini bukanlah sederhana, ia membawa kita kembali kepada persoalan kewarganegaraan di mana bukan Melayu yang bersedia menerima identiti Malaysia perlu menerima pula bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, mestilah boleh dan bersedia bertutur dalam bahasa tersebut. Titah Sultan Ibrahim tersebut tidak syak lagi merupakan singgungan mengenai isu berkait UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).
UEC adalah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di bawah Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong). Ia bukanlah peperiksaan di bawah Kementerian Pendidikan dan tiada kaitan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di bawah Kementerian Pendidikan. Kelemahan atau ketidakmampuan sebahagian besar pelajar berbangsa Cina menguasai bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang terbina dari persepsi politik tetapi telah pun dibuktikan dalam pelbagai kajian akademik, antara lain oleh Ang Lay Hoon dan Che Radiah Mezah, menerusi makalah ilmiah 'Masalah Penggunaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Etnik Cina di Malaysia' pada tahun 2012.
Masyarakat Cina berusaha melobi parti-parti politik untuk mengiktiraf UEC. Mereka yang menyokong pengiktirafan UEC menegaskan ia adalah bahagian daripada hak asasi manusia, akses adil kepada pendidikan dan peluang kerjaya, dan sama sekali bukan satu ancaman kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Isu ini ditunggang oleh ahli-ahli parti politik khusus dalam helah memomokkan kelompok masyarakat Cina yang dianggap gagal mengasimilasi kebudayaan kebangsaan. Manakala, kelompok kanan Melayu pula beranggapan ia sebagai satu ancaman dan sengaja mencabar Dasar Pendidikan Kebangsaan, di mana naratif yang diketengahkan adalah UEC tidak selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan memandangkan silibus sejarah dan bahasa pengantar di sekolah persendirian Cina ini menggunakan bahasa Mandarin.
Loke Siew Fook, setiausaha agung DAP, parti yang mendapat sokongan meluas pengundi berbangsa Cina berulang kali menyatakan bahawa sebahagian besar pelajar UEC menguasai bahasa Melayu dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan kelayakan mereka menepati standard kebangsaan.
Untuk mengambil jalan tengah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak mengiktiraf sukatan pelajaran UEC secara rasmi, sebaliknya sekadar memberikan laluan bersyarat untuk kemasukan lulusan tertentu ke institusi pendidikan tinggi tempatan dengan syarat wajib lulus bahasa Melayu dan sejarah.
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mengikut Perkara 152 Perlembagaan. Mana-mana pelajar UEC yang berhasrat memasuki universiti awam di Malaysia wajib memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian (kredit) dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat SPM. Ini bagi memastikan mereka mempunyai kompetensi linguistik untuk berinteraksi dan berfungsi dalam ekosistem awam Malaysia.
Selain itu, pengetahuan tentang sejarah tanah air dianggap sebagai asas kepada pembentukan jati diri dan kesetiaan kepada negara. Oleh demikian lulus dalam mata pelajaran sejarah SPM dijadikan syarat wajib yang tidak boleh dikompromi. Ini bagi memastikan setiap mahasiswa di universiti awam, tanpa mengira latar belakang sekolah mereka, dapat berkongsi naratif sejarah watan yang sama.
Pada masa sama aktivis pendidikan yang objektif menggesa Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menunjukkan keterbukaan bagi membenarkan elemen-elemen sastera, geografi, dan sivik tempatan diintegrasikan ke dalam silibus mereka. Mereka berpandangan pengiktirafan bersifat dua hala; di mana pihak kerajaan juga berhak menuntut penyesuaian terhadap aspirasi nasional dan ia mesti dilaksanakan oleh pihak pengurusan UEC. Harapannya adalah menerusi pendekatan berhati-hati ini, kemasukan pelajar UEC ke universiti awam tidak menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Bahkan ia boleh bertindak sebagai instrumen integrasi sosial yang menarik mereka graduan Sekolah Persendirian Cina ke dalam arus perdana pembinaan negara.
Seruan Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat adalah satu bentuk penegasan cultural authority. Sebagai seorang raja, ia bukanlah kali pertama baginda menekankan pandangan. Pada tahun 2015, baginda mengkritik sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil yang dianggapnya menghalang penguasaan bahasa Melayu. Kritikan ini diulang lagi ketika baginda sudah menjadi Agong, di mana baginda menyatakan kehairanan mengapa masih ada rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu, sambil menggesa agar sistem pendidikan negara menjadikan sistem pendidikan sekolah di peringkat rendah hanya satu aliran.
Isu kemampuan menguasai bahasa kebangsaan ini sudah tentu menjadi bahan rangup untuk kumpulan kanan Melayu, di mana penegasan terhadap kebudayaan kebangsaan yang berteraskan bangsa Melayu dipasakkan kembali. Gepena, yang merupakan gabungan kumpulan penulis berbahasa Melayu misalnya pernah mengambil kesempatan dengan meminta aktivis pendidikan Cina tunduk kepada kebudayaan kebangsaan yang berteraskan bangsa dan bahasa Melayu.
Tokoh kanan, dan Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Ridhuan Tee Abdullah misalnya mengambil peluang ketidakmampuan graduan sekolah-sekolah Cina persendirian dan keengganan mereka untuk meningkatkan jam pembelajaran bahasa Melayu di sekolah sebagai satu keingkaran, dan mengisyaratkan agar kerajaan menggunakan kuasa dan kekerasan untuk membolehkan bahasa Melayu menjadi keutamaan. Ridhuan juga sering mengkritik papan tanda jalan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Dalam satu insiden yang melucukan tetapi dapat menggambarkan bagaimana cultural authority sering dipertengkar dan dipolitikkan, Ridhuan meminta sepanduk Hungry Ghost Festival yang disambut oleh masyarakat Cina ditulis dalam bahasa Melayu.
Selain manipulasi isu bahasa Melayu dalam bidang pendidikan yang ditunggang kumpulan dan tokoh kanan demi menunjukkan kejaguhan masing-masing; bahasa Melayu juga dijadikan bahan politik, untuk tujuan sama. Sebagai contoh, pada tahun 2025, dalam satu skandal sukan yang menyebabkan tujuh pemain antarabangsa digantung Fifa selama 12 bulan kerana memalsukan dokumen berkait status warisan, PAS menggunakan skandal tersebut untuk menjadikan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebagai sasaran.
Kerajaan Malaysia mendakwa seramai 23 pemain bola sepak telah diberi taraf kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi sejak tahun 2018, dan ini termasuklah tujuh pemain warisan tersebut. Semua kelulusan ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan. Menteri dalam negeri seterusnya berhujah yang setiap permohonan diproses mengikut Perkara 19 Perlembagaan dan Kaedah-kaedah Warganegara yang menetapkan tiga syarat utama iaitu pemohon mesti bermastautin di Malaysia, berkelakuan baik serta mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu. Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain ini kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen. Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari dalam usaha memanjangkan skandal ini, dan untuk memerangkap menteri dalam negeri mencabar agar satu video ringkas tujuh pemain naturalisasi berbahasa Melayu disiarkan, memandangkan pengetahuan asas tentang bahasa itu adalah antara syarat wajib memperolehi kewarganegaraan. Sudah tentu Fadhli tidaklah seorang yang naif dan jahil seputar latar belakang skandal ini. Netizen yang bukan ahli Dewan Rakyat malah boleh menghidu kejadian dan angkubah kejadian ini. Fadhli, hanya mahu bermain 'sepak persepsi' untuk menyulitkan hidup seorang menteri; ditakdirkan keadaan terbalik, dan jika Fadhli yang berada di posisi itu, beliau sendiri akan berdepan jerebu solusi yang serupa.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai sebahagian jati diri budaya bangsa Melayu dengan itu tidaklah sederhana. Pemuda Umno sebagai contoh menjadikan komitmen untuk terus mempertahankan agama Islam, memartabatkan bangsa Melayu serta memelihara institusi raja Melayu sebagai teras perjuangan. Walaupun komitmen tersebut sebetulnya hanyalah umpan politik dan 'acah-acah Doraemon' sahaja. Dalam banyak keadaan termasuk kes kedudukan bahasa Melayu, kumpulan kanan Melayu dan parti-parti politik misalnya dapat berlindung di sebalik raja Melayu sebagai cultural authority dalam memaksakan agenda politik mereka.
Sudah nasib Oriental Kopi tersedut dalam politik bahasa ini. Mungkin dengan kontroversi dan ancaman boikot ini, rangkaian kopitiam itu akan memperbaiki pemasaran dan persembahannya. Akan tetapi, sementara itu berlaku, ya pilihan raya sudah mendekat, maka politik bahasa sebagai keropok rangup akan terus dikunyah-kunyahi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
