KUALA LUMPUR: Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah pengarah Mentega Terbang, Khairi Anwar Jailani, serta penerbitnya, Tan Meng Kheng, memberitahu mahkamah bahawa filem itu telah menyinggung dan mengguris perasaannya sebagai orang Islam.
Dalam pernyataan saksinya, Yamna Ismail, 39, berkata beberapa babak menyentuh soal akidah, penjelmaan semula (reincarnation), prasangka, sikap dwistandard terhadap Islam, serta perbandingan agama telah menyinggung perasaannya.
“Saya amat tersinggung kerana filem ini secara terang-terangan menghina, memperlekeh, mempersenda dan memperolok-olokkan agama Islam,” kata Yamna, seorang suri rumah.
“Selepas menonton filem itu, saya berpandangan ia mengandungi unsur dan ciri kufur terhadap Islam. Filem ini boleh memesongkan akidah umat Islam.”

Yamna berkata, berdasarkan pemahamannya, filem itu mengisahkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bernama Aisyah yang meneroka pelbagai agama demi mencari jawapan kepada persoalan, 'Apa yang akan berlaku selepas kita mati?'
Katanya, beliau tersinggung dengan satu babak memaparkan Aisyah yang kelihatan bersahaja memakan pau berintikan daging babi, selain satu lagi babak yang menunjukkan watak itu memegang anjing tanpa alasan munasabah.
Yamna turut mempertikaikan babak Aisyah mengajak rakannya, Suresh, masuk ke dalam bilik untuk menyiapkan tugasan.
Beliau berkata, beliau membuat laporan polis selepas menonton filem itu di rumahnya pada 26 Feb 2023.
Filem itu akan ditayangkan di mahkamah di hadapan Majistret Heng Yi Min esok, disusuli sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Khairi, 34, yang juga penulis lakon layar filem itu, bersama Tan, 39, didakwa pada 17 Jan 2024 atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.
Tuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Zaid Malek dan Mahajoth Singh mewakili Khairi serta Tan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nadia Izhar tampil bagi pihak pendakwaan.
Barisan pembelaan turut dianggotai Nandakumar S Haridas, Karl Rafiq Nadzarin dan Reenajir Kaur Golen.
Mentega Terbang mula ditayangkan pada 28 Nov 2021 sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkannya pada 1 Sept 2023.
Pada Julai, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan menteri dalam negeri mengharamkan tayangan serta publisiti filem tersebut selepas memutuskan bahawa larangan itu sah di sisi undang-undang, dan peruntukan berkaitan dalam Akta Penapisan Filem mematuhi perlembagaan.
