PETALING JAYA: Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara dua individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes individu bukan muhrim berdua-duaan di tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Okt lalu.
Dalam kenyataan, beliau berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya sebelum mereka meneruskan perbincangan di Petaling Jaya untuk melihat bahan berkaitan projek berkenaan.
Nik Nazmi mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba, namun menegaskan mereka tidak melakukan perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan,” katanya sambil memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan pertimbangannya.
Beliau turut berjanji memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Nik Nazmi juga memohon maaf kepada parti Bersama kerana mengecewakan ahli dan penyokong, selain menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti berhubung isu itu.
Beliau berharap semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbincangan mengenai perkara itu menerusi media.
