KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan peruntukan baharu sebenar daripada RM18.7 bilion untuk Sabah di bawah Belanjawan 2027, tanpa mengambil kira dana yang sudah diperuntukan bagi projek sedia ada.
Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang menyambut baik peningkatan peruntukan kepada RM1.1 bilion itu, berkata kerajaan perlu menjelaskan bagaimana jumlah terbabit akan dibelanjakan.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, berapakah peruntukan baharu sebenar bagi 2027 selepas ditolak perbelanjaan mengurus, projek sambungan yang sedang berjalan dan komitmen kewangan sedia ada?” soalnya ketika perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat.
Beliau turut ingin mengetahui sama ada jumlah itu merangkumi geran khas interim Sabah dan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Suhaimi menggesa kemudahan dan peralatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan ditambah baik, selain menambah bilangan doktor pakar supaya pesakit tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Beliau mencadangkan perkhidmatan pemulihan dan dialisis diperluas kerana langkah itu lebih murah berbanding membina hospital baharu. Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah sebenar doktor yang merawat pesakit di Sabah, tidak termasuk mereka yang sedang bercuti belajar.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata pertambahan penduduk dan peningkatan jumlah pelajar menyebabkan sekolah di Libaran sesak, sekali gus menjejaskan pembelajaran dan menyumbang kepada masalah sosial.
Beliau menggesa lebih banyak bilik darjah dan tandas dibina serta kemudahan sekolah ditambah baik, di samping tindakan lebih tegas terhadap kes buli dan perlindungan lebih baik untuk mangsa.
Suhaimi turut meminta kerajaan mengenal pasti kampung yang masih menghadapi masalah bekalan air, elektrik dan internet serta menetapkan tarikh yang jelas bagi penambahbaikan kemudahan berkenaan.
Beliau juga menggesa pelan pembangunan bagi pantai timur Sabah dirangka, dengan Sandakan dijadikan pusat pemprosesan dan eksport produk tempatan.
Beliau meminta kerajaan mengkaji semula sama ada pengecualian kabotaj yang diperkenalkan pada 2017 berjaya mengurangkan kos penghantaran ke Sabah, dengan mengambil kira caj pelabuhan yang tinggi dan ketidakseimbangan pergerakan kargo.
Katanya, Sabah membeli barangan bernilai RM31.5 bilion dari Semenanjung tahun lalu, tetapi hanya menjual barangan bernilai RM18.1 bilion ke Semenanjung, menyebabkan muatan kapal tidak begitu banyak dalam perjalanan pulang.
Suhaimi berkata rakyat Sabah akan menilai belanjawan itu bergantung sama ada mereka mendapat bekalan air terawat, bekalan elektrik yang terjamin, sekolah yang berfungsi dengan baik, kemudahan kesihatan berhampiran dan peluang pekerjaan.
