KUALA LUMPUR: DAP tidak pernah mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu atau kedudukan Islam, kata wakil rakyatnya RSN Rayer ketika mempertahankan pendirian parti berhubung peningkatan peruntukan pembangunan Islam dalam Belanjawan 2027.
Rayer (PH-Jelutong) berkata, DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan RM5 juta bagi pembangunan masjid baharu di kawasan Parlimen Jelutong.
“Sebab itu, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan dana RM5 juta untuk pembangunan masjid baharu di Parlimen Jelutong,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Rayer berkata, beliau turut menghargai peruntukan RM100 juta untuk sekolah Cina, RM50 juta bagi sekolah Tamil dan RM80 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), mengenai pendirian DAP berhubung peningkatan peruntukan pembangunan Islam daripada RM2.6 bilion pada 2026 kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027 diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Rayer menggesa kerajaan meningkatkan pengambilan rakyat berbangsa Cina dan India dalam perkhidmatan awam.
Katanya, berdasarkan angka dikemukakannya, penjawat awam Melayu kini merangkumi 77.7%, diikuti kaum Cina (5.4%), India (3.76%) dan lain-lain (13.2%).
“Lebih ramai rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India perlu digalakkan untuk berkhidmat sebagai penjawat awam supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara untuk semua rakyat,” katanya.
