PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menafikan dakwaan tiga ekor gajah yang dipindahkan ke sebuah zoo di Jepun didera atau diabaikan.
Yang Dipertua MPT, Akmal Dahalan, berkata tiga ekor gajah itu — Darao, Amoi dan Kelat — berada dalam keadaan sihat dan telah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Zoo Tennoji, Osaka.
Jelasnya, tiga ekor gajah itu yang pada mulanya diasingkan susulan pemindahan berkenaan, ditempatkan bersama semula 20 Sept lalu dan bebas bergerak ke seluruh kawasan kurungan di zoo terbabit.
Mengulas kebimbangan yang disuarakan di media sosial berhubung tingkah laku gajah itu, seperti menghayunkan kepala, zoochosis (tingkah laku berulang akibat tekanan) dan episod musth, Akmal menjelaskan tingkah laku sedemikian tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan tekanan, kemurungan atau pengabaian.
"Menghayunkan kepala tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan kerana ia juga merupakan indikator menunjukkan tingkah laku 'food anticipation' atau menjangkakan makanan.
"Kekerapan episod musth yang dialami Kelat disebabkan penerimaan makanan bergizi tinggi dan lengkap yang disediakan Zoo Tennoji dan kedua-dua tingkah laku ini adalah normal bagi gajah yang dijaga di zoo," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Zoo Tennoji sentiasa melaksanakan program pengayaan (enrichment) bagi membantu kesejahteraan dan kesihatan haiwan itu.
"Mereka juga sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk memastikan kebajikan, kesihatan, pemakanan, rawatan veterinar, keselamatan serta pengurusan harian gajah dilaksanakan mengikut piawaian dan amalan terbaik antarabangsa."
Pemindahan ini mencetuskan kontroversi sejak gajahitu dihantar ke Jepun awal tahun ini.
MPT menegaskan ia program pertukaran antara zoo yang bersifat bukan komersial dan gajah berkenaan kekal hak milik Zoo Taiping.
