KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa penanda aras pendapatan lebih tinggi digunakan dalam menentukan kelayakan penerima bantuan kebajikan kerana keluarga sedang bergelut memerlukan sokongan bukan sekadar makanan.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan pendapatan isi rumah bulanan RM1,236 atau RM348 bagi setiap ahli keluarga sebagai panduan dalam menilai permohonan bantuan kewangan sejak 1 Jan lalu.
Menurut wakil rakyat DAP itu, angka RM1,236 merupakan garis kemiskinan untuk makanan saja, manakala garis kemiskinan keseluruhan negara yang merangkumi keperluan asas lain ialah RM2,705 pada 2024.
"Keluarga juga perlu membayar kos sewa rumah, bil, kos pengangkutan, perbelanjaan persekolahan, lampin dewasa, ubat-ubatan serta rawatan perubatan," katanya ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Justeru, beliau mencadangkan RM2,705 dijadikan titik permulaan, dengan pelarasan dibuat berdasarkan saiz keluarga, lokasi serta kos sara hidup.
"Jangan tarik balik semua bantuan hanya kerana pendapatan seseorang meningkat sedikit. Berikan mereka ruang untuk menstabilkan kehidupan dan berdikari."
Katanya, keluarga berpendapatan sederhana sering tercicir daripada menerima bantuan kerajaan, walaupun mereka bergelut untuk menampung kos perumahan, pendidikan anak serta penjagaan ibu bapa sudah lanjut usia.
Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula syarat kelayakan penerima bantuan dan menyediakan lebih banyak pelepasan cukai bagi perbelanjaan pendidikan, penjagaan kesihatan serta penjagaan ahli keluarga.
Januari lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, berkata JKM menetapkan pendapatan garis kemiskinan makanan (PGK makanan) negara pada kadar RM1,236 sebagai kriteria untuk penerima bantuan kebajikan.
Sebelum ini, paras itu ditetapkan pada RM1,198.
Isi rumah dengan pendapatan kasar bulanan di bawah RM1,236 dikategorikan miskin tegar.
Lim berkata, kelayakan penerima bantuan disemak setiap tahun, dengan mengambil kira keadaan kewangan dan sosial mereka.
Di bawah Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan hampir RM3.3 bilion bagi bantuan JKM yang merangkumi bantuan kewangan untuk warga emas, orang kurang upaya dan keluarga berdepan kesukaran hidup.
Jabatan Perangkaan melaporkan 5.1% isi rumah hidup di bawah garis kemiskinan pada 2024 berbanding 6.2% pada 2022.
