BEIJING: China sekali lagi menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia menjadi anggota penuh Brics, selain berharap Putrajaya terus memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kerjasama antara Beijing dengan negara Asean.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata sokongan itu ditegaskan semula dalam perbincangan beliau bersama rakan sejawatnya Ding Xuexiang di Great Hall of People, hari ini, selepas Presiden China Xi Jinping sebelum ini turut menyatakan pendirian sama.
"Walaupun terdapat sokongan daripada Presiden Xi sebelum ini, dalam perbincangan hari ini, China sekali lagi menyatakan sokongan terhadap kemasukan Malaysia sebagai anggota penuh Brics.
“Sokongan China itu penting memandangkan perdana menteri (Anwar Ibrahim) telah memperoleh persetujuan daripada negara anggota asal Brics bagi menyokong kemasukan Malaysia sebagai anggota penuh kumpulan berkenaan," katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.
Dalam pada itu, Zahid berkata China turut berharap Malaysia dapat meneruskan peranannya sebagai penghubung dalam memperkukuh kerjasama antara China dengan negara Asean.
Beliau berkata, perkara itu termasuk usaha meneruskan kerjasama tiga hala antara Asean, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China menerusi penganjuran sidang kemuncak melibatkan ketiga-tiga pihak.
Katanya, Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean-China-GCC ketika Sidang Kemuncak Asean berlangsung tahun lalu.
Dalam hal ini, beliau berkata Malaysia diharapkan dapat terus memainkan peranan yang sama apabila sidang kemuncak berkenaan diadakan di China kelak.
Zahid berkata, kerjasama itu turut merangkumi usaha menggunakan renminbi (RMB) dalam urusan perdagangan dengan China dan negara GCC.
Menurutnya, langkah itu berpotensi memberikan kesan terhadap urusan pertukaran mata wang antara ringgit dan RMB, selain urusan pertukaran mata wang dengan negara GCC.
China akan mempengerusikan Brics pada 2027 dan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ke-19 perkumpulan itu tahun depan.
Brics ialah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Brazil, Rusia, India dan China, sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011.
