PETALING JAYA: Pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pihak diberi kuasa mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan atau dianggap pengambilalihan peranan pemimpin agama.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, fungsi itu merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan menurut undang-undang negara.
"Setiap agama mempunyai upacara, adat, dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain, manakala pelaksanaan ritual keagamaan merupakan urusan penganut dan pemimpin agama berkenaan.
"Dari sudut undang-undang negara pula, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta 164 hendaklah dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah," katanya menurut kenyataan.
Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik mengupacara serta mendaftarkan perkahwinan sivil.
Perkahwinan tersebut boleh dilaksanakan di pejabat JPN atau di rumah ibadat dan persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat dan prosedur undang-undang.
JPN berkata, kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.
Pada masa sama, pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara.
JPN turut mengingatkan masyarakat supaya memahami fakta dan peruntukan undang-undang berkaitan, sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti agama.
"Semua perlu menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat," menurut kenyataan itu.
