PETALING JAYA: Nasib Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar Perlis dikatakan berada dalam tangan Adun PAS susulan tindakan Bersatu menggantung keahlian beliau, menurut penganalisis.
Penganalisis berkata sokongan wakil rakyat PAS menjadi talian hayat kepada Abu Bakar, yang meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKN).
Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata Abu Bakar tiada pilihan melainkan berunding dengan PAS walaupun sukar.
"Berunding dengan PAS bukan sekadar satu pilihan sebaliknya talian hayat bagi kelangsungan politik beliau. Namun, mengambil kira keadaan semasa, rundingan antara menteri besar dan Adun PAS dilihat sukar dilakukan," katanya kepada FMT.
Mujibu berkata hubungan politik antara Abu Bakar dan PAS terjejas "susulan isu lampau berhubung tindakan beberapa Adun Bersatu, termasuk Abu Bakar, yang didakwa pernah menandatangani surat akuan bersumpah untuk menjatuhkan bekas menteri besar daripada PAS."
Susulan kemelut politik di Perlis tahun lalu, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu, pemimpin PAS pusat mengumumkan semua ahlinya melepaskan jawatan exco kerajaan negeri sebagai tanda solidariti dengan menteri besar terdahulu, Shukri Ramli.
Pemimpin PAS pusat juga mengumumkan PAS tidak menyertai barisan exco baharu bawah pimpinan Abu Bakar, menyebabkan beliau mentadbir Perlis bersama empat ahli exco daripada Bersatu.
"Abu Bakar kini digantung keahlian sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional tanpa keabsahan struktur parti yang jelas," kata Mujibu.
Semalam, Pengerusi Bersatu Perlis Izizam Ibrahim dilapor berkata keahlian Abu Bakar digantung selama dua penggal pemilihan parti, berkuat kuasa 13 Okt lalu. Sepanjang tempoh penggantungan, Abu Bakar turut dilucutkan semua jawatan dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu.
Tindakan itu didakwa diambil susulan pelanggaran fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli. Abu Bakar berkata beliau akan merayu keputusan lembaga disiplin Bersatu itu.
Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia berkata PAS menjadi blok penentu kerana Abu Bakar memerlukan sokongan mencukupi untuk mengekalkan majoriti dalam DUN.
"Tanpa sokongan Bersatu, menteri besar memerlukan keenam-enam Adun PAS. Risiko yang lebih nyata ialah dari segi pentadbiran. UUTKN Perlis mensyaratkan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) selain menteri besar, dan semua exco sedia ada terdiri daripada wakil Bersatu. Jika mereka menarik diri, keupayaan kerajaan membuat keputusan akan terjejas," katanya.
Afifi berkata sokongan PAS akan bersifat transaksi, dan PAS berada pada kedudukan dengan kuasa tawar-menawar yang tinggi.
"Kelangsungan kerajaan negeri bergantung pada tiga faktor iaitu budi bicara raja Perlis, pendirian PAS dan hasil rayuan dalaman Bersatu," katanya.
Mujibu pula berkata PAS mungkin terdorong untuk berunding sekiranya parti itu mahu mengelakkan PRN di Perlis.
"Pilihan yang ada (bagi Abu Bakar) mungkin membubarkan DUN lebih awal kerana langkah itu boleh mendorong PAS kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan PRN awal yang berisiko kepada semua pihak," katanya.
Kedudukan di DUN Perlis ketika ini menyaksikan Bersatu menduduki lima kerusi, manakala PAS di enam kerusi. Seorang wakil rakyat PKR merupakan satu-satunya pembangkang.
