PETALING JAYA: Jabatan Penjara sedang meneliti dakwaan berhubung masalah kekurangan bekalan air dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan di Penjara Kajang, serta memberi jaminan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat sebarang kelemahan.
Jabatan itu berkata penelitian dibuat susulan dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) mengenai gangguan bekalan air, kemudahan sanitasi dan penyediaan makanan di penjara berkenaan.
"Kami sedang meneliti dakwaan tersebut bagi mengenal pasti keadaan sebenar dan memastikan setiap isu yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya," menurut kenyataan.
"Penambahbaikan segera akan diberi keutamaan bagi menangani sebarang kelemahan yang dikenal pasti, khususnya membabitkan kemudahan asas, kebersihan dan kebajikan banduan."
LFL mendakwa Penjara Kajang yang menempatkan 5,000 banduan berdepan masalah kekurangan air serius sehingga menyukarkan mereka mandi dan menggunakan tandas.
Menurut kumpulan itu, aliran air terlalu perlahan sehingga banduan terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk memenuhi sebaldi air, malah ada yang tidak dapat menggunakan tandas sehingga dua hari.
LFL turut mendakwa setiap bilik hanya dibekalkan satu liter air minuman sehari, selain membangkitkan kebimbangan mengenai dulang makanan yang kotor dan tahap kebersihan makanan yang tidak memuaskan.
Sehubungan itu, LFL menggesa kerajaan dan pihak berkuasa penjara segera menangani masalah berkenaan serta memastikan banduan mendapat bekalan air bersih yang mencukupi dan kemudahan sanitasi yang sempurna.
Sementara itu, Jabatan Penjara menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan, kebersihan dan keselamatan banduan, termasuk memastikan keperluan asas disediakan mengikut peraturan serta prosedur ditetapkan.
Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk saluran rasminya bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan disahkan, selain tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
