PETALING JAYA: Bersatu membangkitkan kebimbangan bahawa mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung malam ini mungkin melanggar Akta Pertubuhan.
Walaupun PN memperoleh penangguhan pembatalan pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, berkata Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penangguhan itu tidak bermaksud status gabungan berkenaan dipulihkan secara automatik.
Azmin turut menegaskan bahawa JPPM dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap penangguhan itu.
"Bersatu berpendapat memandangkan rayuan sudah difailkan maka pihak-pihak hendaklah memelihara status quo keputusan Pendaftar Pertubuhan sehingga pelupusan semua peringkat prosiding mahkamah ditempuh sepenuhnya.
"Sekiranya PAS dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam situasi yang dijelaskan di atas, Bersatu khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat mempunyai implikasi perundangan yang serius.
"Bersatu akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan peguam bagi menjamin pelaksanaan hukum mengikut Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan dilaksanakan secara sah dan tertib," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis Tertinggi PN dijadual bermesyuarat di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur malam ini, antara perkara lain membincangkan PRN Melaka pada 14 Nov.
Pendaftaran gabungan itu digantung oleh JPPM pada akhir September sebelum dibatalkan pada Selasa lalu, susulan aduan yang difailkan Bersatu terhadap kepimpinan PN.
Mahkamah Tinggi kemudiannya menangguhkan pembatalan pendaftaran PN dua hari kemudian.
Bersatu gesa PN nyatakan pendirian berhubung isu kuorum
Azmin turut menggesa kepimpinan PN menyatakan pendirian mereka berhubung isu mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sendiri yang gagal memenuhi kuorum yang ditetapkan.
Beliau berkata kepimpinan PN telah menggunakan perkara itu sebagai alasan untuk menafikan hak Bersatu menghadiri mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi PN pada Julai.
"Bersatu sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya dan akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian," katanya.
