KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan menteri dalam negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Notis rayuan yang dilihat FMT menamakan Ketua Pengarah JPPM Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebagai perayu.
Menurut notis yang difailkan oleh peguam kanan persekutuan bagi pihak kedua-dua perayu berkenaan, mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Azizan Arshad semalam.
Peguam PN Rafique Rashid Ali mengesahkan pemfailan tersebut.
Perintah penggantungan oleh Mahkamah Tinggi itu akan kekal berkuat kuasa sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman gabungan berkenaan.
Azizan memutuskan bahawa wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan itu, mengambil kira peranan politik PN serta implikasi terhadap haknya sebagai wakil rakyat dan kerajaan negeri.
Pada 5 Okt, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap JPPM, antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis 23 Sept yang menggantung aktivitinya tanpa had masa, selain notis tunjuk sebab pada 22 Sept yang mengarahkannya menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
PN turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua notis itu terbatal dan tidak sah.
Permohonan itu difailkan oleh setiausaha agung lima parti komponen PN, tidak termasuk Bersatu.
