TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas di sini semalam.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Moiley Milin berkata panggilan kecemasan melalui NG999 diterima pada 9.31 malam sebelum 45 anggota bergegas ke lokasi kebakaran.
“Operasi pemadaman menggunakan sumber daripada tangki jentera bomba, pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka iaitu parit, dengan sebanyak 300 rumah berjaya diselamatkan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan namun kebakaran berlaku pantas berikutan keadaan rumah yang rapat antara satu sama lain selain angin kuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, katanya tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan pada 3.25 pagi.
