PETALING JAYA: Sebanyak 13,072 jawatan doktor di Kementerian Kesihatan (KKM) masih kosong setakat 30 Jun lalu, yang merangkumi 1,660 jawatan pakar dan 11,412 jawatan bukan pakar, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, seramai 3,510 pegawai perubatan meletak jawatan antara 2024 hingga 2026, termasuk 1,252 doktor lantikan tetap dan 2,258 doktor kontrak.
Daripada jumlah yang meletak jawatan itu, 51.4% beralih ke sektor swasta, 36.8% atas sebab peribadi dan 4.5% menyertai badan berkanun.
Sebanyak 2.9% lagi bekerja atau menetap di luar negara, 2.6% meletak jawatan kerana masalah kesihatan, 1.5% melanjutkan pelajaran dan 0.3% membuka klinik sendiri.
Beliau turut memaklumkan lapan pakar perubatan meletak jawatan atau berhijrah ke luar negara.
Dzulkefly berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) berhubung doktor yang meletak jawatan atau berhijrah ke luar negara, kekosongan jawatan, kekurangan doktor pakar, tempoh menunggu penempatan latihan siswazah perubatan (housemanship) serta keberkesanan langkah mengekalkan doktor dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata, KKM telah melantik 14,064 pegawai perubatan tetap dan 9,847 pegawai perubatan kontrak dalam tempoh sama.
Bagi menangani kekurangan tenaga kerja, jelasnya, seramai 4,500 doktor kontrak ditawarkan pelantikan tetap tahun ini.
Menurutnya, sebuah pasukan petugas yang ditubuhkan Jabatan Perkhidmatan Awam pada April lalu sedang meneliti isu berkaitan tenaga kerja, manakala KKM diberikan kuasa lebih besar untuk mengurus dan mengagihkan jawatan yang diluluskan bagi mempercepatkan proses pengambilan kakitangan.
Tempoh menunggu di hospital
Dzulkefly berkata, enam hospital kerajaan mencapai sasaran merawat sekurang-kurangnya 70% pesakit bukan kecemasan dalam tempoh dua jam, berbanding purata tempoh menunggu sebelum ini empat hingga enam jam.
Dalam jawapan bertulis kepada Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang), katanya, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mencatatkan kadar tertinggi, dengan 98.61% pesakit zon hijau dirawat dalam tempoh dua jam.
Ini diikuti Hospital Ampang (88.78%), Hospital Selayang (74.1%), Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru (73.2%), Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang (72.2%) dan Hospital Kuala Lumpur (71.8%).
Beliau turut memaklumkan penurunan 9% dalam kehadiran pesakit di enam hospital utama susulan lanjutan waktu operasi di klinik kesihatan kerajaan terpilih.
Klinik itu beroperasi sehingga 9 malam pada hari bekerja serta dari 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hujung minggu dan cuti umum.
Jelasnya, lanjutan waktu operasi itu membantu mengalihkan pesakit mengalami masalah kesihatan ringan daripada jabatan kecemasan hospital.
Dzulkefly turut berkata, semua lapan inisiatif di bawah pasukan petugas khas reformasi agensi bagi mengurangkan kesesakan di hospital, telah dilaksanakan sepenuhnya setakat Jun lalu.
Langkah lain termasuk penyumberluaran rawatan kepada pengamal perubatan am swasta, peluasan saringan digital bagi pesakit bukan kecemasan sebelum mereka mengunjungi klinik (meliputi 545 klinik kesihatan) serta penambahbaikan aliran pesakit di hospital kerajaan.
