MELAKA: PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada sembilan calon yang diketengahkan bagi menghadapi PRN Melaka bulan depan.
Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata parti itu perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi terhadap prinsip dan agenda reformasi yang dibawa di peringkat Persekutuan, serta memastikannya diterima di peringkat negeri.
“Peluang untuk memenangi kerusi yang ditandingi bukan hanya bergantung pada nama atau kekuatan peribadi calon tetapi turut dipengaruhi hubungan mereka dengan masyarakat, kekuatan jentera serta agenda yang dibawa.
“Semua orang bertanding untuk menang, namun calon perlu memastikan mesej dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat sepanjang tempoh berkempen, selain meletakkan kepentingan masyarakat dan pengundi sebagai agenda utama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Madani Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Ayer Keroh @ Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, Batu Berendam.
Adam berkata calon PKR juga perlu menunjukkan komitmen terhadap tadbir urus yang baik serta menampilkan akhlak dan peribadi yang baik ketika mendekati masyarakat.
Malam tadi, perdana menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengumumkan 21 calon PH bagi PRN Melaka, terdiri daripada sembilan calon PKR, DAP (tujuh) dan Amanah (lima).
Tujuh muka baharu daripada PKR ialah Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara), Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), P Denesh (Asahan), Azman Abidin (Paya Rumput), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim) dan Muhammad Faiq Azman (Serkam).
Dua lagi calon yang mempunyai pengalaman bertanding ialah Farzana Hayani Mohd Nasir di Klebang dan Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya.
