PETALING JAYA: Umno dilihat cuba mencari jalan pintas untuk menembusi kubu empat negeri diperintah PAS dikenali SG4 dengan mencabar parti Islam itu memperuntukkan satu pertiga kerusi kepadanya sebagai bukti keikhlasan dalam penyatuan Melayu, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, tuntutan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed, jelas langkah untuk membantu Barisan Nasional (BN) meraih semula pengaruh di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis.
“Saya melihat ini sebagai usaha Umno mencari jalan mudah untuk menembusi negeri seperti Terengganu dan Kedah, tempat di mana pengaruhnya sudah lama merosot,” katanya kepada FMT.
Syaza berkata, tuntutan itu tidak adil kerana Umno tidak memberi laluan kepada PAS dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain dijangka tidak berbuat demikian pada PRN Melaka 14 Nov ini.
Beliau berkata, Umno juga perlu membuktikan keikhlasannya jika mahu menguji PAS, yang sering dikritik kerana meninggalkan rakan gabungan.
“Umno juga mempunyai sejarah terlalu dominan. Jika mahu membuat tuntutan terhadap PAS, Umno juga wajar diuji,” katanya.
Umno menguasai Perlis sehingga 2022 sebelum PAS mengambil alih negeri itu. PAS turut mengukuhkan Kelantan sebagai kubunya selepas memerintah negeri itu sejak 1990, menggantikan Umno yang mentadbir dari 1978.
Di Kedah dan Terengganu pula, kerajaan negeri beberapa kali bertukar tangan antara Umno dan PAS.
Namun, PAS semakin mengukuhkan cengkamannya di keempat-empat negeri itu apabila Perikatan Nasional (PN) menyapu sebahagian besar, jika tidak hampir semua, kerusi Parlimen dan DUN dalam pilihan raya pada 2022 dan 2023.
Sebaliknya, Umno kini hanya mempunyai dua wakil rakyat di empat negeri itu, kedua-duanya Adun Kelantan.
Pada Ahad, Nur Jazlan berkata PAS perlu memperuntukkan satu pertiga kerusi di empat negeri berkenaan kepada Umno sebagai bukti keikhlasan dalam usaha menyatukan orang Melayu.

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata kenyataan Nur Jazlan boleh menjejaskan rundingan kerjasama Umno-PAS, terutama di Kedah yang mahu ditawan semula parti tersebut.
Katanya, pemimpin Umno Kedah jelas tidak senang dengan kenyataan itu kerana negeri berkenaan adalah medan sukar bagi parti tersebut, manakala PAS sudah mengukuhkan penguasaannya.
“Kenyataan itu menyukarkan Umno Kedah merundingkan syarat kerjasama dengan PAS,” katanya.
