PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftarannya serta memohon supaya pelaksanaan dan kesan keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.
Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan mempersoalkan pembatalan itu hari ini, dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar permohonan penangguhan berkaitan notis ketidakpatuhan dan penggantungan aktiviti gabungan berkenaan.
“PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan Mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin berkata keputusan membatalkan pendaftaran sebelum pendengaran itu menimbulkan persoalan mengenai tujuan penggunaan kuasa berkenaan dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Jabatan itu berkata keputusan dibuat selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan PN yang diterima pada 12 Okt, yang didapati tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Pembatalan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
PN sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 5 Okt bagi mencabar notis JPPM, sebelum mendapat kebenaran memulakan prosiding berkenaan pada 13 Okt.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan sementara terhadap penggantungan aktiviti PN. Pendengaran permohonan penangguhan dengan kehadiran kedua-dua pihak ditetapkan pada 22 Okt.
Mengulas urutan tindakan itu, Takiyuddin berkata PN sudah mengemukakan permintaan bertulis pada 14 Okt supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran, namun permintaan berkenaan tidak dijawab.
Menurutnya, hujahan Peguam Negara pada 19 Okt pula menyatakan proses pembatalan masih berjalan, tanpa memaklumkan bahawa pembatalan akan dibuat pada keesokan harinya.
Beliau mendakwa keputusan itu mengubah secara mendasar keadaan yang menjadi pokok pertikaian sebelum mahkamah sempat mendengar permohonan penangguhan PN.
Takiyuddin turut menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan tersebut berhubung pendirian jabatannya di mahkamah ketika pendengaran pada 22 Okt.
BERITA LANJUT MENYUSUL
